Pusingan kedua Piala Malaysia, Nafuzi Zain gesa pemain...


BIARPUN memimpin Kumpulan A saingan Piala Malaysia, pemangku ketua jurulatih Terengganu (TFC), Nafuzi Zain enggan diulit mimpi indah bertemu Negeri Sembilan pada aksi pusingan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Bekas penyerang skuad Terengganu itu juga tidak mahu melabelkan skuadnya sudah berada dalam zon selesa walaupun menang emua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Sebaliknya, beliau mengingatkan anak buahnya supaya meningkatkan lagi prestasi selain memperagakan aksi terbaik menentang skuad Hobin Jang Hobin itu.

"Kemenangan TFC kali ketiga berturut-turut menumpaskan Negeri Sembilan pada pusingan pertama selepas PKNS dan Kedah tempoh hari membuka peluang lebih luas buat skuad Penyu mara ke peringkat suku akhir.

"Jika dilihat kedudukan terkini, kami memerlukan satu lagi kemenangan selepas ini untuk selesa sebelah kaki ke pusingan lapan pasukan terbaik.

"Saya mengingatkan pemain kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini tidak bermakna kami bagus sebaliknya masih banyak perlu diperbaiki kerana ada yang tidak konsisten pada setiap perlawanan.

"Justeru bertemu Negeri Sembilan, saya berpesan bahawa tiada jalan mudah untuk menang melainkan perlu fokus hingga minit terakhir perlawanan kerana sudah pasti lawan juga mahukan kemenangan untuk mengintai slot ke suku akhir," kata Nafuzi.

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan, TFC mengumpul sembilan mata diikuti Kedah (7 mata), PKNS ( 4 mata) dan Negeri Sembilan tercorot tanpa sebarang mata.

Nafuzi juga sudah pasti menyandarkan harapan kepada Wan Azraie Wan Teh untuk mengawal kubu terakhir pasukan. - Harian Metro