Suami Adalah Syurga Atau Neraka Bagi Isteri


Soalan:
Saya ada dengar dalam kuliyah di youtube yang mana ustaz ada menyebut suami adalah syurga atau neraka bagi isteri. Jika isteri itu taat maka syurga baginya dan jika dia derhaka maka neraka baginya. Soalan saya adakah hadith yang menyokong kata-kata ustaz ini?

Jawapan:
Dari Husain bin Mihsan Al-Ansari Rasulullah saw telah bertanya kepada ibu saudaranya:

أَ ذَاتُ زَوْجٍ أَنْتِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ: كَيْفَ أَنْتِ لَهُ؟ قَالَتْ: مَا آلُوْهُ إِلاَّ مَا عَجزْتُ عَنْهُ. قَالَ: فَانْظُرِيْ أينَ أَنْتِ مِنْهُ فَإنَّمَا هُوَ جَنَّتُكِ وَنارُكِ
“Apakah kamu mempunyai suami?” Ibu saudara Al-Husain menjawab : “Ya sudah.” Bertanya Nabi lagi: “Bagaimana kamu terhadap suamimu?” Dia menjawab: “Aku tidak pernah mengurangi haknya kecuali dalam perkara yang aku tidak mampu daripadanya.” Baginda bersabda: “Lihatlah di mana keberadaanmu ketika bersama suamimu. Maka hanyasanya suamimu itu adalah syurgamu dan nerakamu.”

(Hadith sahih riwayat Imam Ahmad dan Al-Munziri dalam At-Tarhib Wa-Targhib dan At-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Ausath dan Ad-Dimyati dan Al-Haithami di dalam Az-Zawajir)


Dan maksud suami adalah syurga dan neraka bagi isteri adalah jika isteri itu taatkan suaminya maka dia masuk syurga dan jika dia derhakakan suaminya maka dia masuk neraka.

Berkata Imam Munawi:

( فإنما هو ) أي الزوج ( جنتك ونارك ) أي هو سبب لدخولك الجنة برضاه عنك، وسبب لدخولك النار بسخطه عليك، فأحسني عشرته ولا تخالفي أمره فيما ليس بمعصية. وأخذ الذهبي من هذا الحديث ونحوه أن النشوز كبيرة.
“Lafaz hadith ‘maka hanyasanya suamimu itu adalah syurgamu dan nerakamu’ bermaksud suami itu menjadi sebab bagi masuknya isteri akan syurga dengan redha suami darinya dan sebab bagi masuknya isteri akan neraka sebab marahnya atas isteri. Maka elokkanlah pergaulan dengan suami dan jangan menyalahi suruhnya pada perkara yang bukan maksiat. Imam Az-Zahabi menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa derhakakan suami itu adalah dosa besar.” (Kitab Faidhul Qadir Syarah Jami’u Shaghir)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media