Orang Ramai Perlu Bantu Pantau Harga Barang


Mohd Nurkhuzaini meninjau harga daging yang merupakan salah satu barang kawalan sempena musim perayaan Deepavali


KUALA TERENGGANU, 21 Oktober -
Orang ramai  disarankan untuk sama-sama membantu memantau harga barangan di seluruh negara seterusnya membanteras kegiatan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati terutama di musim perayaan dan musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata, sekiranya didapati ada para peniaga yang melakukan kesalahan tersebut, aduan boleh terus dibuat kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.


Katanya, dengan kecekapan 110 pegawai yang berpengalaman dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan sekiranya terdapat aduan daripada pengguna.

"Kita juga minta pengguna-pengguna supaya 'alert' jika ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan, sila maklumkan kepada jabatan yang berkaitan.

"Pihak KPDNHEP akan segera ke lokasi untuk kita tengok dan ambil tindakan jika sekiranya benda itu betul-betul berlaku," katanya.

Mohd Nurkhuzaini menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 anjuran KDPNHEP Negeri Terengganu 

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 anjuran KDPNHEP Negeri Terengganu di Pasaraya Mydin Gong Badak hari ini.

Turut hadir, Pengarah KDPNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Tambahnya, pegawai berkenaan turut dibantu oleh pegawai pengawal harga yang turun padang pada awal pagi ke lokasi  dan akan memberikan harga tersebut kepada ibu pejabat tentang harga di lokasi-lokasi itu.

"Kita ada 60 orang diseluruh negeri dan biasanya sebelum tengah hari itu kita akan dapatkan harga semasa yang berada di lokasi masing-masing. Jadi, pengguna pun tidak perlu risau tentang ada pihak yang mengambil kesempatan," ujarnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 19 jenis barangan telah disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Barang sempena sambutan Deepavali pada 27 Oktober ini di peringkat pusat.

Pelaksanaan skim itu akan berkuat kuasa selama 14 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, sehari pada hari Deepavali dan enam hari selepas Deepavali.



Sumber: teganukita.net