Tour Of Peninsular' : Amirull Kekalkan Jersi Biru


Oleh : Wan Luqman Hakim

CAMERON HIGHLANDS, 18 Oktober - Pelumba pasukan Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki berjaya mengekalkan jersi biru selaku raja pecut dalam Tour of Peninsular (ToP) pada peringkat keempat sejauh 89.5 kilometer hari ini.

Menurut Amirull, walaupun tidak berada pada kedudukan tiga terbaik dan terlepas dua lagi jersi yang dimenangi semalam, dia tetap bersyukur kerana masih mampu mempertahankan gelaran raja pecut.

"Kita target rakan lain pada tempat pertama tapi tak ada rezeki, kita cuba hantar dua orang untuk memenangi peringkat hari ini tetapi agak sukar dengan pelumba lain lebih bertenaga.

"Syukur saya dapat mengekalkan jersi biru, kerana ada pelumba lain mengganggu pungutan mata selepas peringkat ini," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Amirull, peringkat terakhir esok adalah penentu segala-galanya buat semua pasukan yang bertanding.

Katanya, TSG akan melakukan aksi terbaik bagi memburu kejayaan dan mempertahankan jersi yang dimiliki.

"Jika melihat daripada laluan esok mungkin untuk jersi lain kita tidak ada perubahan tapi untuk jersi pecut mungkin sedikit bahaya sebab sama pungutan mata dengan pelumba di tempat kedua.

"Macam-macam boleh berlaku dan saya cuba pertahankan jersi ni sampai ke peringkat terakhir," tambahnya lagi.

Peringkat terakhir esok akan bermula di Kuala Lipis dan berakhir di Setiawangsa dengan jarak 151.4 kilometer.



Sumber: teganukita.net