SOALAN:
Adakah ahli keluarga seperti adik beradik dan sebagainya akan dikumpulkan semula di syurga walaupun berbeza darjat dan amal perbuatan?
JAWAPAN:
Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ
“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka.” (Surah al-Tur: 21)
Ibn Abbas R.Anhuma dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Allah SWT akan meninggikan darjat orang beriman pada darjatnya meskipun mereka berada di bawahnya dalam amal perbuatan. Hal itu agar dia merasa senang dengan kehadiran mereka.” Kemudian beliau membacakan firman Allah SWT (di atas).
Seterusnya Ibn Abbas R.Anhuma turut menyebut: “Mereka adalah keturunan orang beriman yang meninggal dunia dalam keadaan beriman. Meskipun tempat tinggal ibubapa mereka lebih tinggi daripada tempat tinggal mereka, namun mereka dipertemukan dengan ibu bapa mereka tanpa mengurangkan sedikit pun amal perbuatan mereka.” Demikian juga yang dikemukakan oleh al-Sya'bi, Sa'id bin Jubair, Ibrahim al-Nakha'ie, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Tafsir Ay al-Quran, 22/467)
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: “Allah SWT memberitahu tentang kurniaan, kemurahan, anugerah dan kelembutan-Nya kepada semua makhluk-Nya serta kebaikan-Nya, bahawa jika orang-orang Mukmin itu diikuti oleh keturunan mereka, maka mereka akan dipertemukan dengan bapa-bapa mereka di suatu tempat, meskipun amal perbuatan mereka tidak sampai pada amal-amal bapa mereka. Ini supaya bapa-bapa mereka itu merasa senang dengan kehadiran anak-anaknya di sisi mereka, di tempat kediaman mereka. Mereka dikumpulkan dengan cara yang paling baik, iaitu orang yang mempunyai amal yang kurang akan ditinggikan darjatnya melalui orang yang amalnya sudah sempurna. Dan hal itu sama sekali tidak menjadikan amalannya berkurang dan kedudukannya menurun sehingga terjadi kesamaan antara orang ini dengan orang yang tinggi darjatnya itu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/550)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT turut berfirman:
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ
“Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka.” (Surah al-Ra’d: 23)
Ibn Kathir berkata: “Maksudnya, Allah SWT mengumpulkan mereka dengan orang-orang yang mereka cintai di dalam syurga itu, iaitu bapa-bapa, isteri-isteri dan anak cucu mereka yang layak untuk masuk syurga, daripada kalangan orang-orang yang beriman. Hal tersebut supaya hati mereka terhibur dan senang dapat berkumpul dengan mereka semua, sehinggakan Allah mengangkat darjat mereka yang rendah menjadi lebih tinggi berkat anugerah dan kebaikan Allah kepada mereka, tanpa mengurangkan darjat orang-orang yang memang memiliki darjat yang tinggi.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/388)
Kesimpulan
Berdasarkan nas-nas di atas, ahli keluarga boleh dikumpulkan semula di dalam syurga walaupun berbeza darjat dan amal perbuatan. Mereka akan dikumpulkan tanpa mengurangkan darjat bagi yang sudah memiliki kedudukan darjat yang tinggi.
Namun, kita tidak sewajarnya menyibukkan fikiran kita dengan terlalu berfikir secara mendalam berkenaan hal ehwal perkara ghaib seperti situasi di dalam syurga. Akan tetapi kita hendaklah fokus dalam melakukan perkara-perkara yang boleh menjadi sebab agar kita dimasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan kita daripada api neraka. Mudah-mudahan kita termasuk dari kalangan orang-orang yang berjaya seperti firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya.” (Surah Ali Imran: 185)
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media