SOALAN:
Apakah jatuh hukum bunuh diri sekiranya dengan sengaja melanggar peraturan jalan raya sehingga menyebabkan kematian apabila kemalangan?
JAWAPAN:
Secara asasnya, peraturan jalan raya dilaksanakan bertepatan dengan Maqasid Syar’iyyah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan menjaga harta (hifz al-mal). Penguatkuasaan undang-undang jalan raya adalah untuk menjamin kemaslahatan pengguna-pengguna jalan raya. Maka, hukum mematuhi peraturan jalan raya adalah wajib.
Hal ini juga berkait dengan kewajipan mentaati pemerintah kerana mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah adalah wajib selagi mana ia tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah al-Nisaa’: 59)
Oleh itu, seseorang itu dianggap berdosa sekiranya memandu dalam keadaan yang merbahaya sehingga boleh menyebabkan kemudharatan kepada diri sendiri atau orang awam yang lain.
Jenayah Membunuh Diri adalah Haram
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah al-Israa’: 33)
Jelas dinyatakan dalam Surah al-Israa’ secara umum bahawa membunuh tanpa alasan yang benar adalah haram, dan ini juga termasuk dengan perbuatan membunuh diri sendiri. Malah, orang yang membunuh diri diberikan ancaman azab di akhirat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasululah SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا
“Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Sahih Muslim no. 109)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa orang yang membunuh dirinya dengan sesuatu, maka dia akan diazab seperti mana dia membunuh dirinya di dalam neraka, dan dia tidak akan masuk ke syurga melainkan dirinya Muslim. [Rujuk: al-Minhaj 2/118]
Terdapat tiga bahagian membunuh diri dari sudut niat pelaku iaitu:
1. Membunuh diri dengan sengaja (القتل عمدا): Melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membunuh dirinya dengan niat membunuh diri, seperti mengambil racun.
2. Membunuh diri dengan separa/hampir sengaja (القتل شبه العمد): Melakukan sesuatu perbuatan tanpa niat membunuh dengan mengunakan alat yang kebiasaannya tidak membunuh tetapi menyebabkan kematian, seperti memukul badan dengan kayu yang kecil.
3. Membunuh diri dengan tidak sengaja (القتل خطأ): Tidak berniat melakukan perbuatan yang boleh membunuh diri atau pembunuhan yang tersilap, seperti termasuk perangkap sendiri.
[Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 6/282 dan 32/327-328]
Majoriti fuqaha’ (Hanafiyah, Syafi’eyah, Hanabilah) berpendapat bahawa tidak dianggap sesuatu pembunuhan dilakukan dengan sengaja kecuali pembunuh berniat untuk membunuh atau menggunakan alat atau senjata yang boleh membunuh. Hal ini kerana niat merupakan sesuatu yang tersembunyi, maka ia boleh diketahui dengan qarinah yang zahir, contohnya dengan melihat alatan atau cara yang digunakan sebagai miqyas kepada niatnya.
Seperti yang sedia maklum bahawa pembunuh akan menggunakan alatan yang sesuai untuk membunuh seperti pisau. Maka, sekiranya alatan atau cara yang digunakan ialah sesuatu yang kebiasaannya tidak membunuh seperti memukul atau menggunakan batu yang kecil namun menyebabkan kematian, pembunuhan itu dianggap pembunuhan hampir sengaja. [Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 7/5658]
Kesimpulan
Tuntasnya, untuk membezakan sama ada pembunuhan itu sengaja, hampir sengaja atau tidak sengaja adalah berdasarkan niat seseorang apabila melakukan perbuatan tersebut, kemudian dilihat jenis alat atau cara yang digunakan sehingga menyebabkan pembunuhan.
Berbalik kepada soalan, kami simpulkan beberapa perkara:
1. Melanggar peraturan jalan raya dengan apa-apa alasan adalah berdosa kerana telah membuka ruang kepada sebarang mafsadah yang bakal berlaku.
2. Sekiranya seseorang dengan sengaja meletakkan dirinya di tengah jalan raya atau memandu dalam keadaan yang berbahaya dengan tujuan membunuh diri atau membahayakan dirinya sehingga menyebabkan kematian, maka dia dianggap membunuh diri.
3. Dan sekiranya seseorang itu tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melebihi had laju, dan tiada niat untuk membunuh diri kerana merasakan keadaan masih selamat dan terkawal, maka dia tidak dianggap membunuh diri sekiranya berlaku kematian. Hal ini bertepatan dengan kaedah:
الأمور بمقاصدها
“Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat.”
Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan janganlah meletakkan diri kita dan orang sekeliling di dalam sebarang kebinasaan. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah: 195)
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media