APC Penghargaan Buat Perkhidmatan Terbaik

Dr. Samsuri bergambar bersama kesemua penerima APC PMINT.

KUALA TERENGGANU, 9 Disember- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diberikan merupakan satu penghargaan di atas tugas cemerlang yang ditunjukkan penerima.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan kakitangan awam supaya melihat secara positif sebarang pengiktirafan kepada anggota dalam sesuatu organisasi.

"Apa yang perlu ditanamkan, samada kepada penerima atau kakitangan lain bahawa penerimaan anugerah kecemerlangan kepada semua anggota dalam organisasi bukanlah rutin atau giliran.

Sesiapa yang berkerja dengan baik, mereka adalah orang yang layak menerimanya. Dengan itu, barulah ada ertinya anugerah kecemerlangan ini," katanya.
Dr. Samsuri.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Malam Tahunan dan Apresiasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Beliau yang juga merupakan pengerusi lembaga pengarah PMINT hadir bersama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azhar, ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dr. Samsuri turut menyeru kakitangan untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan masing-masing pada masa akan datang.
Dr. Samsuri menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima APC.

"Apabila kita secara kolektif meningkatkan tahap perkhidmatan, hasilnya akan ke kita juga.

"Ini kerana kita juga ada peranan dalam urusan seharian kita," katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas khidmat seluruh kakitangan yang diberikan kepada rakyat negeri Terengganu.

Sumber: teganukita.net