Aura Asma' Harun Diterima Baik Warga Kemaman


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 7 Disember - Aura yang ada pada pendakwah selebriti yang terkenal, Ustazah Asma' Harun berjaya menarik minat warga Kemaman apabila hampir 1,200 orang hadir memenuhi Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman dalam Program Keluarga Lamaran Syurga, baru-baru ini.

Beliau yang turut bergandingan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berjaya membawa mesej positif untuk warga Kemaman dalam menangani isu rumah tangga dan gejala sosial yang banyak membawa kerosakan pada hari ini.


Pengarah program, Ustaz Ahmad Khairuddin Mohd Zaki ketika ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini.

"Sebagai manusia, kita semua berkeinginan untuk masuk bukan sekadar bertemu dengan syurga Allah, bahkan untuk kekal di dalamnya. Maka dengan sebab itulah kami  mengambil inisiatif ini memberikan ruang dan peluang kepada seluruh masyarakat agar dapat memahami ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi hamba yang layak untuk bergelar "Lamaran Syurga," ujarnya.


Program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan,  Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri dengan kerjasama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu  (DUAT) dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.

Sumber: teganukita.net