DUN Bandar Agih Bantuan Awal Persekolahan 2020



Ahmad Shah menyampaikan pakej bantuan kepada wakil MPKK.

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Bantuan awal persekolahan kerajaan negeri telah diserahkan kepada seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, semalam dan mula diagihkan kepada penerima bantuan bermula hari ini.

Bantuan berbentuk set pakaian, kasut dan beg sekolah itu akan diagihkan kepada penerima melalui pihak MPKK untuk lebih efisien.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, tujuan penyerahan kerja-kerja pengagihan bantuan itu kepada MPKK adalah untuk memudahkan penerima serta menjimatkan masa.
Ahmad Shah memberikan taklimat ringkas berkenaan agihan bantuan kepada wakil MPKK.

“Kita serahkan kepada MPKK untuk uruskan kerja-kerja pengagihan, jadi penerima hanya perlu berurusan dengan MPKK sahaja, tidak perlulah susah-susah datang dari jauh ke pejabat DUN, tenaga dan masa pun jimat” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar, semalam.

Melalui kaedah itu, Ahmad Shah mengharapkan kerjasama yang baik daripada pihak MPKK bagi menjalankan tanggunjawab yang diamanahkan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada seluruh wakil-wakil setiap MPKK yang sudi datang memberi kerjasama pada hari ini.

"Semoga urusan ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penerima," katanya.



Sumber: teganukita.net