Kunjungan Delegasi Palestin Perkukuh 'Cinta' Bumi Anbia



Khalil Al-Hayya bertukar-tukar pendapat dengan Tuan Guru Abdul Hadi ketika kunjungannya ke Masjid Rusila, semalam.  

KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Kunjungan rasmi delegasi Palestin ke Negeri Terengganu, semalam menzahirkan hubungan akrab yang terjalin antara rakyat Malaysia khususnya di negeri Pantai Timur itu dengan masyarakat Muslim di bumi Anbia yang merupakan kiblat pertama umat Islam itu.

Delegasi yang diketuai ahli Parlimen Palestin yang juga merupakan Pegawai Kanan Hamas, Khalil Al-Hayya itu turut disertai jurucakap parti berkenaan, Sami Abu Zuhri dan Pengerusi Cendekiawan Muslim Palestin (Palestinian Muslim Scholar) cawangan Asia Tenggara, Ahid Abu Ata.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini melahirkan kegembiraan atas kedatangan 'saudara dekat' itu apabila beliau menerima kunjungan hormat rombongan tersebut di pejabatnya.
Delegasi turut dibawa melawat Dewan Undangan Negeri Terengganu.

"Saya berbesar hati meraikan kehadiran Syeikh Khalil Al-Hayya dan delegasi dari Palestin yang berkunjungan ke Terengganu Darul Iman dan sudi bertandang ke Masjid Rusila. Sesungguhnya, perjuangan membebaskan Palestin adalah perjuangan kita semua dan persahabatan di antara Palestin dan Malaysia adalah amat istimewa.

"Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan dan merahmati usaha kalian yang berjuang di barisan hadapan, mewakili kami semua umat Islam di seluruh dunia," kata beliau dalam mengungkap keakraban hubungan antara kedua negara itu.

Dalam kunjungan sehari itu, kerajaan negeri yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said membawa delegasi itu melawat pusat pentadbiran negeri di Wisma Darul Iman yang disambut sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali.
Tekun meneliti antara nakhah yang dipamerkan di Taman Tamadun Islam.

Selain itu, delegasi Palestin turut melawat beberapa lokasi menarik dalam negeri dan secara khusus tidak melepaskan peluang melihat replika 22 monumen penting Islam daripada seluruh dunia.

Kesempatan hadir ke negeri pesisir ini, delegasi berkenaan juga sempat singgah ke pasaraya anak tempatan yang terkenal menyokong Palestin iaitu Pasaraya Sabasun dan Warung Al-Qassam bagi menghargai keprihatinan mereka.

Khalil Al-Hayya dalam ucapannya pada hari tersebut menyatakan kecintaan kepada rakyat negeri dan negara ini yang banyak membantu penduduk Palestin dalam mempertahankan bumi itu.

"Kami menghargai Malaysia dan semua di sini. Kepada rakyat Malaysia yang mementingkan Islam, kami begitu berbangga dengan keislaman anda," katanya.







Sumber: teganukita.net