Lulus RM10,000 Bina Semula Surau Dibadai Ombak

Surau yang runtuh akibat dibadai ombak besar.
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 17 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan peruntukan segera berjumlah RM10,000 bagi membina semula sebuah surau kegunaan nelayan yang musnah dibadai ombak besar dalam kejadian pada Sabtu, tiga hari lepas di Kampung Tanjung Pantai, Kemasik, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk melihat sebuah surau dibina segera melalui usaha gotong-royong nelayan dan penduduk kampung.

“Terpulanglah kepada MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) di sini bila hendak buat, dan saya harap mereka bina secepat mungkin, kalau boleh minggu depan ‘start’ (mula).


“Peruntukan kita sediakan kerana surau merupakan tempat para nelayan menunaikan kewajipan solat sebelum turun ke laut atau pulang,” ujar beliau.

Hanafiah juga memberitahu, projek pemuliharaan sedang diusahakan kerajaan meliputi pembinaan struktur pemecah ombak, penambakan pasir pantai, perlindungan tebing dan mendalamkan muara bernilai RM5.2 juta dan dijangka siap pada bulan Mac depan.

“Kerja-kerja pembinaan belum selesai, ombak besar pula datang,” tegasnya di lokasi kejadian, petang semalam.


Sementara itu, menurut Pengerusi MPKK Pekan Kemasik, Yusof Mohamad, hempasan ombak setinggi empat meter berikutan fenomena air pasang besar dan angin kencang sejak seminggu lalu mengakibatkan kawasan tersebut mengalami hakisan teruk sekali gus menjejaskan kira-kira 200 nelayan yang mendarat hasil tangkapan di situ.

“Tebing pantai sejauh 100 meter runtuh menyebabkan bangsal pendaratan nelayan, kedai Koperasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik dan sebuah rumah turut rosak,” katanya.

Sumber: teganukita.net