Oleh : Khairuddin Yusoff
HULU TERENGGANU, 15 Disember- Sekian lama menunggu akhirnya impian satu keluarga di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, untuk memiliki rumah tercapai menerusi Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).
Mohd Shahir Yusof, 37, merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Kampung Jak merasa amat terharu kerana penantiannya selama tujuh tahun kini berakhir.
“Alhamdulillah kami sekeluarga amat gembira dengan bantuan kerajaan negeri dan mendapat perhatian sewajarnya dari Pihak ADUN Ajil.
“Dengan pendapatan yang tidak seberapa dan anak seramai lima orang sedikit menyukarkan saya dan isteri untuk mengurus keluarga, Alhamdulilah dengan bantuan ini memudahkan isteri saya untuk memasak dan sebagainya," katanya.
Dia berkata demikian kepada Pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima Kunci Rumah PPTS yang disampaikan oleh ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim di kediamannya, pagi tadi.
Turut bersama Penghulu Mukim Tanggol dan Diman, En Jefridin Salleh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i- Mits) Ajil, En Makhtar Mohd, Pengerusi MPKK Kampung Jak, En Mat Yassin dan Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ajil.
Sementara itu, Ustaz Maliaman berkata, pihaknya berusaha untuk membantu mereka yang layak untuk mendapat kediaman sendiri mengikut keutamaan.
“Kalau boleh kita mahu memenuhi semua kehendak rakyat di DUN Ajil ini untuk mendapat kediaman sendiri, tetapi keupayaan kita terhad maka kita ikut prioriti (keutamaan) mana yang memerlukan.
“Sahabat kita ini OKU dan mempunyai lima orang anak sebab itu kita utamakan dia dan Alhamdulillah impiannya tercapai pada hari ini," ujarnya lagi.
Tambahnya, Kerajaan Terengganu terus komited untuk melihat rakyat Terengganu untuk memiliki kediaman sendiri.
“Penyerahan ini membuktikan bahawa kerajaan Terengganu begitu prihatin untuk menolong golongan yang tidak berkemampuan membina rumah samada OKU, Ibu Tunggal dan orang miskin untuk memiliki kediaman sendiri.
“Mereka yang ingin memiliki rumah kita ikut ranking dan kita berterima kasih kepada kerajaan, MPKK, serta sokongan daripada semua penduduk yang memberi sokongan penuh kepada Kerajaan negeri untuk mencapai hasrat tersebut," ujarnya.
Sumber: teganukita.net