Patuh Arahan Pihak Berkuasa Jika Berlaku Kemalangan Industri


Oleh: Khalid Abdullah 

KEMAMAN, 19 Disember - Masyarakat perlu mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden lebih teruk jika berlaku kejadian yang tidak diingini terutamanya kemalangan besar dalam industri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, jika berlaku kebocoran gas atau kebakaran, amat penting untuk memberikan kerjasama kepada arahan dan amaran pihak berkuasa.

“Masyarakat sekitar DUN Paka dan DUN Kemasik boleh terdedah kepada bahaya kemalangan besar di persekitaran mereka kerana tinggal berhampiran dengan terminal atau loji minyak dan gas.

“Kita semua perlu bertenang dan mengelakkan situasi menjadi huru-hara dan kelam-kabut,” ujar beliau.


Ir Saiful Azmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian (CIMAH) PETRONAS Carigali Sdn Bhd di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS di Kertih di sini semalam.

Hampir 120 orang ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari 16 buah kampung sekitar DUN Paka dan DUN Kemasik mengambil bahagian dalam taklimat tersebut.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Hasliza Othman, taklimat berkenaan diadakan bagi memenuhi keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1996.

“Akta berkenaan telah menetapkan bahawa pengilang-pengilang adalah bertanggungjawab membekalkan maklumat mengenai aktiviti industri mereka kepada orang awam di sekitar tapak kilang yang mungkin terjejas dengan kemalangan besar yang mungkin berlaku,” jelas beliau.


Tambahnya, pihak PETRONAS Carigali komited untuk memberi penerangan mengenai empat terminal operasi iaitu Terengganu Crude Oil Terminal (TCOT), Onshore Slugcatcher (OSC), Onshore Gas Terminal (OGT) dan Terengganu Gas Terminal (TGAST).

“Inilah aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan paling penting adalah tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh orang awam sekiranya berlaku kecemasan di tapak industri kami,” katanya lagi.

Sumber: teganukita.net