Pembinaan Longkang Besar Atasi Banjir di Wakaf Mempelam


Pembinaan saliran baru memudahkan air mengalir ke Sungai Derhaka.


KUALA TERENGGANU, 10 Disember- Pembinaan longkang besar di persempadanan Kampung Sungai Derhaka, Kampung Teluk Paku dan Kampung Pak Nik berjaya menyelesaikan masalah banjir yang setiap tahun dialami oleh penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Wakaf Mempelam.

Antara kawasan terlibat yang menerima manfaat pelaksanaan itu ialah Kampung Kayu Tinggi, Kampung Pok Babuk, Kampung Tok Jamal, Kampung Gelugor Raja dan Kampung Teluk Paku.

Menurut Pengerusi MPKK Kampung Teluk Paku, Che Ku Anuar Che Ku Bisnun, masalah banjir di kawasan itu telah lama berlaku.

"Setiap kali tiba musim tengkujuh, penduduk akan mula menghadapi banjir berikutan masalah saliran yang dialami sejak sekian lama.
Pihak-pihak terlibat melihat proses pembinaan longkang yang hampir siap.

"Alhamdulillah, pada tahun ini dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak, masalah yang menjadi punca utama banjir di sini dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di lokasi pembinaan longkang itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang turut turun meninjau keadaan di sana merakamkan rasa terima kasih kepada pihak-pihak terlibat dalam usaha itu.

"Longkang atau saliran ini agak istimewa kerana ia dibina di bawah laluan jalan sepanjang lebih kurang 300 meter sebelum di salurkan terus ke Sungai Derhaka.

"Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak serta komitmen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, masalah ini berjaya diselesaikan," katanya.




Sumber: teganukita.net