Tengku Tasnim Senyum Riang Tak Sabar Ke Sekolah


Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN, 22 Disember - Tidak sabar dan sangat bersemangat, itu riak yang terpancar dari wajah Tengku Nur Tasnim Imani Tengku Mohd Alwy, 6, untuk melangkah ke Tahun Satu di sesi baharu persekolahan yang akan bermula tidak berapa lama lagi.

Si ibu, Siti Hawa Mohd Zakaria, 37, seorang ibu tunggal selepas berpisah dengan suami sejak setahun yang lalu.

Siti Hawa mencari rezeki untuk menyara hidup mereka tiga beranak dengan mengambil upah memotong benang sarung lengan (inner) dari kedai jahit berhampiran kediaman.

“Dapatlah RM35 untuk 500 pasang ‘inner’ yang mengambil masa lima hari untuk disiapkan kesemuanya,” ujar beliau.


Sejak berpisah dengan suami setahun yang lalu, Siti Hawa tidak mampu untuk membayar sewa rumah mereka, hidupnya banyak bergantung kepada belas simpati adiknya sebagai tuan rumah.

Sumbangan Kerajaan Terengganu berbentuk pakaian dan kelengkapan sesi baharu persekolahan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili semalam di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Kertih sangat tepat untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau miskin seperti keluarga Siti Hawa.

Turut serta, adik Tengku Nur Tasnim, Nur Qaseh Aulia Amani Habil@Azman, berusia 4 tahun.

Ketika disantuni, Tasnim seperti tidak mampu lagi menyembunyikan kegembiraan.


“Seronok sangat dapat baju dan beg sekolah baharu, rindu nak jumpa kawan-kawan masa pra (tadika),” katanya yang bakal melangkah ke Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kertih di sini tahun depan.

Seramai 285 pelajar peringkat rendah dan menengah dari lima buah kampung sekitar Kertih, terdiri daripada anak-anak keluarga miskin dan berpendapatan rendah menerima sumbangan berbentuk pakaian dan kelengkapan sesi baharu persekolahan.

Sumber: teganukita.net