Terengganu Agih RM10 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

Dr Ahmad Samsuri (kanan) menyerahkan barangan dapur kepada penerima bantuan musim tengkujuh dari DUN Rhu Rendang.

MARANG, 28 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan persekolahan kepada lebih 81,000 pelajar di seluruh negeri Terengganu sehingga penghujung bulan ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada di antara daerah yang sudah selesai membuat pengagihan bantuan itu dan ada juga yang masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas Program Agihan Sumbangan Musim Tengkujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris.


Pada majlis berkenaan, seramai 525 penerima yang layak menerima sumbangan  dengan peruntukan sebanyak RM50,000 yang disediakan untuk DUN tersebut.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis berkenaan, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)i Rhu Rendang menyarankan agar Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri Terengganu membuat 'post mortem' cara pengagihan pakaian sekolah tahun ini kerana berlaku sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki untuk penambahbaikan di masa akan datang.

"Terdapat sebanyak 10 peratus berlaku kelemahan yang perlu diperbaiki dalam pengagihan pakaian dan peralatan sekolah tahun ini.

"Ada cadangan penerima bantuan hanya perlu diberi voucher dalam kadar tertentu contohnya RM100, untuk membolehkan mereka menukarnya dengan barangan berkenaan di kedai yang ditentukan.

"Namun cara tersebut, juga ada kelemahan tersendiri termasuk menyalahgunakan voucher untuk membeli barangan lain, selain barangan yang telah ditetapkan," ujarnya.



Sumber: teganukita.net