Terengganu FC mungkin jelajah pra-musim di luar negara


Terengganu FC mungkin mengadakan jelajah pra-musim di Thailand dan menurut pengendali, Nafuzi Zain ketika dihubungi Semuanya BOLA, ianya belum disahkan dan dalam perancangan.

Terengganu baru sahaja selesai menjalani aksi pemanas badan pertama mereka malam kelmarin dengan meraih keputusan seri 3-3 menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Gol-gol Terengganu telah dijaringkan oleh dua pemain yang baharu direkrut untuk musim 2020 iaitu dua gol oleh penyerang import, Dominic da Sylva dan juga pemain sayap, D. Saarvindran.

Sang Penyu dilihat sudah hampir tiga minggu menjalani latihan di bawah kendalian Nafuzi Zain dan kelibat beberapa pemain baharu telah mencuri tumpuan para penyokong sambil merasakan musim ini mereka mampu meraih sesuatu dalam saingan Liga Malaysia.

Musim lalu, Terengganu menamatkan saingan liga di kedudukan ke-7, dua anak tangga di bawah kedudukan musim 2018, mara ke suku akhir Piala FA sebelum disingkir Pahang dan ditumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Menurut pengendali berusia 41 tahun itu, aksi bertemu musuh Pantai Timur itu adalah sebagai pembuka tirai siri perlawanan persahabatan dan akan ada banyak lagi aksi persahabatan yang dirancang sebelum sepak mula Liga Super, penghujung Februari.

“Selepas persahabatan dengan Kelantan, akan ada beberapa lagi perlawanan persahabatan [yang dirancang] pada bulan Januari dan Februari,” ujar Nafuzi Zain ketika ditanya tentang aksi pra-musim.

“Mungkin. Kita tunggu. Kita telah merancang untuk ke Bangkok. Tahun lepas kita ke Vietnam,” ujarnya lagi mengenai perancangan untuk mengadakan sesi jelajah pra-musim di luar negara.

Ketika ditanyakan Semuanya BOLA mengenai pemain-pemain muda yang telah membantu Sang Penyu menjulang kejuaraan Sheikh Kamal International Club Cup di Bangladesh, bulan lalu, Nafuzi Zain mengesahkan mereka berada bersama skuad utama.

“Pemain-pemain muda itu ada bersama saya sekarang ini,” ujarnya mengenai beberapa pemain muda yang telah menyerlah sambil berkata beliau sangat berpuas hati dengan sesi latihan mereka.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan sesi latihan bersama mereka dan tidak mustahil akan ada tempat buat mereka di dalam skuad utama,” tambahnya mengenai kemungkinan untuk pemain-pemain tersebut memecah masuk ke skuad utama pada musim hadapan. - Semuanyabola