SOALAN:
Seorang ahli keluarga saya memohon pendapat dari alim ulama’ mengenai ‘trend’ pada zaman sekarang dimana anak-anak Melayu mula menganjurkan Christmas Party. Kebiasaannya pada waktu dahulu, orang Kristian yang menganjurkannya namun kini anak-anak Melayu yang beragama Islam yang menganjurkan Christmas Party di rumah-rumah kediaman mereka. Mohon pandangan dan penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Rasulullah SAW:
«لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ» قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ»
“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Lantas siapa lagi?” [Riwayat Muslim (2669)]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut, menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan syibr (sejengkal) dan dziro’ (sehasta) serta lubang dhob adalah permisalan terhadap tingkah laku kaum Muslimin yang begitu serupa dengan tingkah Yahudi dan Nasrani dari segi mengikuti mereka dalam hal kemaksiatan begitu juga perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. [Lihat: Syarh Muslim ‘ala al-Nawawi; 2/219]
Penganjuran Christmas Party kebiasaannya akan dihiasi dengan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan agama, seperti makanan dan minuman yang tidak halal, perjudian, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Maka, dalam hal menganjurkan Christmas Party yang sememangnya sambutan perayaan bagi orang Kristian dalam kalangan orang Islam, ia merupakan suatu sikap tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang Kristian. Walhal, tasyabbuh terhadap agama selain agama Islam adalah dilarang sama sekali. Ia dibuktikan dengan hadith Rasulullah SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031)]
Dalam lafaz yang lain Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا
“Bukan dari kalangan kami mereka yang menyerupai selain kami.” [Lihat: Majmu’ al-Fatawa; 22/154]
Penganjuran Christmas Party ini juga pada dasarnya jika diteliti pada niat dan juga maksud menganjurkan sambutan tersebut, dapat dilihat di sini seolah-olah membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka. Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab meletakkan hukum haram mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka. Maka, dalam hal menganjurkan Christmas Party adalah lebih utama dan lebih berat hukumnya berbanding melafazkan ucapan tahniah kepada orang Kristian.
Di samping itu, penganjuran Christmas Party ini juga perlulah dielakkan dan amatlah tidak digalakkan untuk dianjurkan sebagai jalan ataupun cara bagi menutup ruang-ruang yang membawa kepada kemungkaran dan juga kemaksiatan. Justeru, konsep sadd al-zari’ah (menutup jalan atau ruang) diaplikasikan di sini ke atas penganjuran Christmas Party bagi mengelakkan berlakunya hal-hal mahupun perkara keji apatah lagi yang merosakkan akidah. Ini juga berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan saling membantulah ke atas perkara kebaikan dan ketaqwaan dan jangan saling membantu atas perkara dosa dan permusuhan.” [Surah al-Maidah (2)]
Di sini kami lampirkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam. Maksud “bertentangan dengan aqidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Penutup
Kesimpulannya, kami cenderung untuk mengatakan bahawa penganjuran Christmas Party dalam kalangan orang Muslim adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan dari menyerupai orang Kristian dalam perayaan mereka serta perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka di samping melindungi diri dari perkara-perkara yang mungkar dan keji. Sehubungan dengan itu, kami menasihati orang ramai agar tidak meraikan perayaan agama lain sepertimana meraikan perayaan Islam iaitu ‘Eid al-Fitri dan juga ‘Eid al-Adha.
Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya, memberikan kemudahan dan keikhlasan dalam beribadah kepada-Nya, semoga Allah SWT memberkati juga segala amal perbuatan kita dan menganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media