Menuntut Ilmu Tiada Penghujungnya


Menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan bagi setiap umat Islam. Dengan ilmu, kita dapat mengenal Allah SWT, dapat melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Bahkan sebagai Khalifah atau pemimpin di muka bumi ini juga memerlukan ilmu supaya dapat mentadbir dan memakmurkan bumi Allah SWT ini seperti yang dikehendaki oleh-Nya. Umat Islam yang berilmu turut akan mendapat kejayaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Pentingnya menuntut ilmu sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Taubah ayat 122:

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Menerusi ayat ini Allah SWT memberi kelonggaran kepada orang yang menuntut ilmu agar tidak turut serta pergi berperang supaya tinggal dan berperanan mendidik serta membimbing orang lain.

Allah SWT mengangkat darjat orang-orang yang beriman berbanding dengan yang tidak beriman. Dalam kalangan mereka yang beriman pula, Allah SWT mengangkat darjat mereka yang berilmu. Demi menunjukkan bahawa iman dan ilmu merupakan perkara penting yang perlu diberi penekanan bila mana Allah SWT telah menggandingkan dua perkara ini dalam ayat tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

“Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah!), Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”

Kelebihan lain juga turut dikurniakan oleh Allah SWT bagi mereka yang berusaha untuk menuntut ilmu. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Jalan untuk menuntut ilmu sentiasa terbuka luas. Banyak universiti yang menawarkan program-program pengajian sepanjang hayat dengan menawarkan kursus-kursus bersijil dan diploma dalam pelbagai bidang termasuk pengajian agama. Malahan, pihak masjid dan surau tidak jemu-jemu mengadakan kuliah dan daurah kitab setiap hari. Begitu juga ilmu boleh didapati daripada ceramah-ceramah dalam TV dan radio oleh para guru dan pendakwah yang bertauliah. Rebutlah peluang menuntut ilmu dalam pelbagai bidang yang disediakan. Walau bagaimanapun, kita hendaklah belajar daripada guru yang diakui ilmunya. Ini penting kerana di zaman sekarang ini, masyarakat terdedah dengan fahaman pelik, ilmu songsang dan sebagainya. Ada yang menjadi ekstrim, melampau, taksub dan pelbagai lagi. Segala penyakit ini sudah pasti ia boleh menjadi barah dalam masyarakat. Maka jalan penyelesaiannya ia tetap memerlukan kepada ilmu.

Ilmu juga amat mudah didapati dengan cara membaca. Pilihlah bahan bacaan yang berunsurkan keilmuan, bukan yang berunsurkan hiburan semata-mata. Mewujudkan budaya membaca demi untuk mendapatkan ilmu juga merupakan suruhan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; bacalah, dan Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Salah satu tempat yang baik dan sesuai untuk mendalami ilmu pengetahuan ialah dengan mengunjungi perpusatakaan. Di samping untuk membaca buku, adakalanya pihak perpustakaan juga turut menganjurkan program-program yang berfaedah buat para pengunjung. Oleh itu, jadikan aktiviti mengunjungi perpustakaan sebagai rutin mingguan agar kita terdedah dengan suasana keilmuan. Selangkah ke perpustakaan sejuta pengetahuan. Teguh keimanan, tinggi keyakinan.

Menuntut ilmu tiada penghujungnya. Sesungguhnya manfaat ilmu itu tidak hanya dirasakan individu itu sahaja bahkan masyarakat sekitarnya akan mendapat manfaat dari ilmu yang dimiliki seseorang itu. Ini kerana, dengan ilmu kita mampu membezakan antara yang benar ataupun salah. Kita dapat membezakan halal dan haram, dosa dan pahala, baik dan buruk serta sebagainya. Maka persoalan-persoalan ini dapat diselesaikan dengan adanya ilmu pengetahun. Bahkan seseorang itu tidak akan terperangkap pada perbuatan atau tindakan yang salah sama ada tersalah melakukan atau terpengaruh dengan orang lain. Semuanya dapat di atasi dengan baik dengan adanya ilmu.

Marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

  • Umat Islam hendaklah meyakini bahawa menuntut ilmu merupakan sebahagian daripada perintah Allah SWT.
  • Umat Islam hendaklah berterusan menuntut ilmu khususnya ilmu agama sebagai cahaya kehidupan sehingga ke akhir hayat.
  • Umat Islam hendaklah berusaha mendalami ilmu pengetahun agar dapat melaksanakan segala amal ibadat seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT dan mendapat rahmat dari-Nya.

Firman Allah SWT:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar: 9)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media