DUN Terengganu Bersama Rakyat


KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menjadi lebih mesra rakyat setelah beberapa pembaharuan dilaksanakan.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, pengurusan DUN akan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk bertukar maklumat dengan pihak kerajaan melalui lawatan, perbincangan dan perbahasan.

"Sebenarnya ini adalah meneruskan tradisi yang ada dalam DUN untuk menggalakkan lebih ramai pelawat datang dari semasa ke semasa.

"DUN adalah satu institusi yang penting dalam kerajaan dan jika ada peluang dan kesempatan kita akan berdialog dengan isu-isu yang berbangkit," jelasnya.


Beliau berkata demikian selepas menerima  kunjungan hormat daripada badan bukan kerajaan (NGO) GENERASI bersama seluruh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Wilayah Terengganu di Wisma Darul Iman di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi GENERASI, Naraza Muda.

Menurutnya, MPKK dan GENERASI boleh membangkitkan isu-isu yang berkait dengan kerajaan negeri.

"Saya rasa puas hati dengan apa yang mereka lakukan pada hari ini yang menggambarkan hasrat mereka untuk membantu kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang berbangkit dari semasa ke semasa," ujar beliau.


Sementara itu, beliau juga menyarankan pihak yang terbabit agar mencari jalan untuk menangani masalah sosial yang berterusan berlaku di kawasan Felda.

Sumber: teganukita.net