Hukum Terus Bangun Menunaikan Solat Sunat Sesudah Solat Fardhu


SOALAN:
Apa hukum seseorang itu terus bangun mendirikan solat sunat sebaik sahaja selesai solat fardhu. Adakah ia dibolehkan atau perlu berzikir terlebih dahulu?

JAWAPAN:
Berkenaan isu ini kami menyatakan bahawa terdapat sebuah nas yang menyuruh agar dipisahkan antara solat fardhu dan juga solat sunat. Dari sudut tidak dilaksanakan solat sunat secara mubasyarah (serta merta) sesudah solat fardhu selesai didirikan. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan R.A beliau berkata:

إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ فَلاَ تَصِلْهَا بِصَلاَةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَنَا بِذَلِكَ أَنْ لاَ تُوصَلَ صَلاَةٌ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ
“Apabila kamu selesai mendirikan solat Jumaat maka janganlah kamu menyambungnya dengan solat (yang lain) sehingga kamu berkata-kata atau kamu keluar. Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan perkara tersebut supaya tidak disambungkan solat sehingga kami berkata-kata atau kami keluar.‏” [Riwayat Muslim (883)]

Berdasarkan riwayat di atas, kita dapat mengeluarkan beberapa faedah yang kami ringkaskannya melalui beberapa noktah yang berikut:

1. Perkataan solat Jumaat di dalam hadith tersebut adalah sekadar menyatakan contoh sahaja. Kerana hakikatnya, kesemua solat adalah termasuk dalam larangan untuk disambungkan sesudahnya dengan solat yang lain tanpa sebarang pemisah.

Ini jelas berdasarkan perkataan لاَ تُوصَلَ صَلاَةٌ dimana kalimah solat di situ adalah nakirah yang datang sesudah la al-nahiyah (larangan). Maka ia merupakan di antara lafaz yang membawa makna umum meliputi semua jenis solat.

2. Larangan yang terdapat di dalam hadith di atas bukanlah membawa hukum haram. Sebaliknya, ia membawa hukum makruh tanzih seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’.

3. Perintah yang terdapat di dalam hadith tersebut membawa hukum mustahab dan bukannya wajib.

4. Hikmah arahan memisahkan solat fardhu dengan solat sunat dengan perkataan atau keluar adalah seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Battal:

“Oleh kerana solat Jumaat itu sebanyak dua rakaat, maka tidak dilakukan sesudahnya solat yang sama sepertinya (dari sudut bilangan rakaat) takut-takut orang menyangka bahawa ia (dua rakaat tersebut) merupakan bahagian yang dihazafkan daripadanya. Demikian (takut orang menyangka) bahawa ia merupakan solat yang wajib.” [Rujuk: Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (2/526)]

5. Sebahagian ulama' berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan حَتَّى تَكَلَّمَ (sehingga kamu berkata-kata) adalah merujuk kepada perbualan dengan manusia. Kami menyatakan bahawa ucapan dengan manusia jelas menunjukkan bahawa dia tidak berada di dalam solat kerana perbuatan tersebut tidak dibenarkan dalam solat. Justeru, perbuatan ini mencapai makna untuk memisahkan antara dua solat.

6. Manakala perkataan تَخْرُجَ (kamu keluar) dalam hadith di atas membawa kepada dua maksud iaitu keluar secara hakikat dari sudut keluar terus dari masjid. Atau keluar dalam erti kata beralih sedikit dari tempat solat fardhu didirikan sebentar tadi kepada tempat yang lain.

Syeikh Badruddin Al-‘Aini berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan beralih kedudukan dari tempat solat fardhu didirikan untuk mendirikan solat sunat adalah mustahab. Dan yang lebih baik (afdhal) adalah seseorang itu beralih yakni beredar menuju ke rumahnya. Jika tidak dapat, maka boleh beralih ke tempat-tempat yang lain dari bahagian masjid atau selainnya.” [Rujuk: Syarah Sunan Abi Daud, Al-‘Aini (4/473)]

7. Maka ada dua pilihan yang seseorang boleh buat dan tidak perlu melakukan kedua-duanya. Iaitu sama ada dia bercakap dengan orang lain atau dia boleh beralih kedudukan dari tempat solat fardhu tersebut ke tempat lain untuk mendirikan solat sunat dan ini adalah lebih afdhal. Dan lebih afdhal dari itu adalah dia mengerjakan solat sunat di rumahnya sendiri. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ، إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ
“Seafdhal solat seseorang itu adalah di rumahnya melainkan solat fardhu.” [Riwayat Al-Bukhari (7290)]

Imam Al-Nawawi dalam mengulas hikmah mengapa digalakkan untuk seseorang itu beralih kedudukan ke tempat yang lain untuk mendirikan solat sunat menyatakan:

فَإِنْ لَمْ يَرْجِعْ إلَى بَيْتِهِ وَأَرَادَ التَّنَفُّلَ فِي الْمَسْجِدِ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَنْتَقِلَ عَنْ مَوْضِعِهِ قَلِيلًا لِتَكْثِيرِ مَوَاضِعِ سُجُودِهِ
“Sekiranya seseorang itu tidak pulang ke rumahnya dan hendak menunaikan solat sunat di masjid, maka disunatkan kepadanya untuk beralih sedikit dari tempatnya (yang telah dilakukan solat padanya sebelum ini) untuk memperbanyakkan tempat sujudnya.”

Kemudian kata beliau lagi:

فَإِنْ لَمْ يَنْتَقِلْ إلَى مَوْضِعٍ آخَرَ فَيَنْبَغِي أَنْ يَفْصِلَ بَيْنَ الْفَرِيضَةِ وَالنَّافِلَةِ بِكَلَامِ إنْسَانٍ
“Sekiranya seseorang itu tidak beralih ke tempat yang lain, maka dia dituntut untuk memisahkan solat fardhu dengan solat sunat dengan perkataan kepada manusia.” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/491)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa jika seseorang itu terus bangun mengerjakan solat sunat sesudah solat fardhu tanpa memisahkan keduanya itu dengan ucapan atau beralih tempat maka hukumnya adalah makruh. Sebaiknya, seseorang itu berpindah kedudukannya ke tempat yang lain untuk menunaikan solat sunat atau dia bercakap dengan orang lain atau dia melaksanakan solat sunat di rumahnya seperti yang dinaskan melalui hadith Nabi SAW.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media