Roshadi Wahab pening kepala


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC ll (TFC ll), Roshadi Wahab akui ‘pening kepala’ memilih kesebelasan utama pemainnya yang bakal membuat perhitungan pertama bertemu Selangor ll dalam saingan Liga Perdana pada 1 Mac ini.

Beliau yang dinaikkan pangkat mengendalikan skuad The Turtles itu bersama pemain legenda Terengganu, Sapian Wahid berkata, semua pemainnya menyajikan prestasi terbaik dan komitmen tinggi untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan.

Katanya persaingan sihat itu dapat disaksikan ketika sesi latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan dalam misi menggalas tugas pasukan.

"Sekarang kami berada dalam situasi 'pening kepala' untuk memilih kerana semua pemain menunjukkan komitmen tinggi ketika sesi latihan dan dalam perlawanan persahabatan pramusim.

"Jadi saya perlu ambil masa sedikit lagi untuk tentukan pemain yang akan membarisi kesebelasan utama walaupun bayangan itu sebenarnya sudah ada.

“Ini ditambah persiapan pasukan juga berjalan dengan lancar dan berada pada tahap terbaik untuk mengharungi kancah liga musim ini.

“Kami harap dengan berbaki seminggu sahaja lagi sebelum bermula perlawanan sebenar, kami dapat memutuskan pemain yang bakal beraksi di posisi masing-masing," kata Roshadi ketika ditemui selepas perlawanan pemanas badan dengan Terengganu FC (TFC) di Padang C, Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

“Mengenai kecederaan pemain import, Argzhim Redzovic, pada mulanya agak gusar juga, tapi kini sudah pulih sepenuhnya dan dapat diturunkan. Selain itu penyerang utama, Jordan Mintah juga setakat ini mempamerkan permainan baik dan saya yakin pemain itu mampu menyinar dalam saingan liga nanti.”

Juara Piala Cabaran musim pertama 2018 itu menyasarkan kelompok tiga terbaik liga musim ini selepas tersekat di peringkat separuh akhir musim lalu kepada Johor Darul Ta`zim II (JDT II). - Berita Harian