Sedikit kelainan pada jersi Terengganu FC 2020


KUALA TERENGGANU: Warna hitam putih terus menjadi pilihan Terengganu Football Club (TFC) untuk jersi pertama pasukan itu dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim bagaimanapun berkata, rekaan penuh jersi untuk tuan rumah, tempat lawan dan ketiga akan diumumkan secara rasmi pada Khamis ini.

Jelasnya, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan melancarkan jersi itu sempena Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi di Dataran Batu Buruk tepat jam 5.00 petang.

“Jersi TFC kita kekalkan tema ‘Black and White’, cuma sedikit kelainan bagi jersi tempat lawan dan ketiga. Apa pun, ciri-ciri Terengganu kita kekalkan pada jersi kita,” ujarnya ketika ditemui media baru-baru ini.

Mengulas tentang laporan pemain TFC diintai kelab Liga 1 Thailand, Hishamuddin berkata, perkara itu sudah berada dalam makluman pihaknya.

“Memang ada beberapa pemain kita yang sedang diminati oleh kelab Thailand, namun buat masa ini pemain itu akan terus bermain bersama TFC selagi belum ada pengumuman rasmi.

“Kita juga sentiasa memberi dorongan kepada para pemain supaya memperagakan aksi terbaik terutama dalam Liga M 2020 nanti supaya selepas ini mereka dapat beraksi luar Liga M,” katanya yang enggan mendedahkan nama pemain tersebut.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain akan membuka tirai Liga Super bertemu juara Piala Malaysia 2018, Perak FA di Stadium  Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), 29 Februari ini. - Teganukita