Kuala Nerus: Masalah padang menjadi fokus Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) ketika pemeriksaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Isu-isu lain seperti kebocoran di struktur bangunan akibat runtuhan bumbung sebelum ini pula akan diselesaikan segera melalui tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
Selain itu, pihak pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu sedang bekerja keras untuk memastikan fasiliti SSMZA berada di tahap optimum sebelum sepak mula Liga Super.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, berkata sistem saliran padang juga berfungsi lebih baik selepas diuji sebelum proses penukaran rumput dilakukan lagi.
"Sudah dua pasukan mengadakan perlawanan ujian di sini dan kedua-dua sangat berpuas hati dengan kualiti padang SSMZA.
"Jadi kami harap MFL memberikan lampu hijau untuk aksi pembukaan Terengganu FC (TFC) dan Perak pada 29 Februari dilangsungkan di venue ini," jelasnya.
Sementara itu, berlangsung aksi pemanas badan tertutup di stadium berkenaan malam tadi menyaksikan TFC meraih kemenangan 4-1 ke atas pasukan jiran, Pahang.
Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain itu garang mendahului empat gol sebelum rehat menerusi hatrik penyerang, Dominique Da Sylva, serta jaringan Faris Ramli.
Gol sagu hati skuad Tok Gajah dihasilkan dakan separuh masa kedua yang berpunca daripada jaringan sendiri bek tengah Sang Penyu, Babacar Diallo. - Arena