Larian santai sambil menghayati keindahan alam semula jadi. |
Oleh : Fahmi Izzuddin
SETIU, 8 Mac - Sempena Hari Terbuka Setiu Wetlands (SWOD), lebih 350 orang peserta menyertai 'Walk for Fun Setiu' yang diadakan di Kampung Mangkok semalam.
Program yang disertai pelbagai peringkat umur itu bersifat santai dan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penjagaan alam sekitar.
Ia melibatkan penganjuran bersama pihak Kumpulan Wang Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia, CIMB Islamic Malaysia dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.
Rata-rata peserta yang terdiri daripada penduduk setempat dan pengunjung luar Setiu menyatakan keterujaan untuk bersama dalam program berkenaan.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri serius menjaga kelestarian alam sekitar. |
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian SWOD pada sebelah petang.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan.
"Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menjaga khazanah berharga ini untuk kita wariskan kepada generasi pelapis.
"Di pihak kerajaan, kita telah mewartakan dua kawasan sebagai Taman Negeri iaitu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands di sini," katanya ketika berucap.
Dalam pada itu, pertandingan foto tercantik berkonsepkan alam sekitar turut mencuri tumpuan pencinta alam dan masyarakat setempat.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut serta dalam larian. |
Sumber: teganukita.net