SOALAN:
Ada tak hukum faraid hutang. Faraid harta saya biasa dengar tapi kalau mati tak ada harta, hutang saja berlambak-lambak, ada ke orang faraidkan hutang tu? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN:
Hutang bukanlah satu perkara yang disukai dan digalakkan dalam agama Islam. Ianya jelas sehinggakan Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita semua satu doa meminta berlindung daripada hutang. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau memberitahu Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam seperti berikut:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” [Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa makna bagi kalimah maghram ialah dain iaitu hutang. Dikatakan yang dikehendaki dengan al-Maghram ialah apa yang diperhutangkan sama ada perkara harus atau tidak, kemudian orang yang berhutang tidak mampu untuk membayarnya.” (Lihat: Fath al-Bari, 2/371)
Menjawab kepada persoalan di atas, sekiranya seseorang itu mati dan mempunyai hutang ketika hayatnya, maka hutang tersebut wajib dilangsaikan dengan harta-harta yang ditinggalkannya. Hal ini kerana, perkara paling utama yang perlu dilakukan oleh waris si mati ialah membayar hutang-hutang yang ditinggalkan bagi melepaskan belenggu hutang tersebut daripada si mati. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
“Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” [Riwayat al-Tirmidzi (1079), Imam al-Tirmidzi menghukumkan sanad hadith ini sebagai hasan]
Adapun begitu, sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang harta atau harta yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar hutang yang ditinggalkan, maka waris tidak harus untuk membayar hutang-hutang si mati tersebut. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ
“Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-An’am: 164)
Walau bagaimanapun, sekiranya waris menolong membayar hutang yang ditinggalkan itu, maka ianya termasuk dalam bab ihsan kepada si mati dan semestinya diganjarkan pahala oleh Allah SWT.
Hutang adalah bebanan tanggungjawab yang perlu diselesaikan segera oleh penghutang. Setiap Muslim sewajarnya beriltizam untuk melangsaikan hutang yang dimiliki. Iltizam yang dipupuk tersebut perlulah disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan hutang yang telah dilakukannya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
“Barangsiapa meminjam harta orang lain dengan maksud untuk mengembalikannya maka Allah akan melunasinya, barangsiapa yang meminjam dengan niat tidak akan mengembalikannya, maka Allah akan memusnahkan harta tersebut.” [Riwayat al-Bukhari (2387)]
Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ خَيْرَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
“Sesungguhnya sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik dalam menunaikan hutang.” [Riwayat al-Bukhari (2390)]
Kesimpulan
Kami nyatakan bahawa hutang yang dimiliki oleh si mati tidak boleh difaraidkan kepada waris-waris. Pembayaran hutang tersebut perlu dilangsaikan terlebih dahulu menggunakan harta peninggalan si mati sebelum harta tersebut di faraidkan kepada waris. Adapun begitu, sekalipun harta tersebut tidak mencukupi, pihak waris tidak harus untuk membayar hutang si mati. Namun begitu sekiranya waris menolong membayar hutang tersebut ianya termasuk dalam bab berbuat ihsan kepada si mati. Sudah pasti perkara tersebut adalah baik kepada si mati dan terlebih baik kepada ahli waris tersebut.
Semoga dengan pencerahan ini memberikan kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.
Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media