COVID-19: Ilmu Perubatan Islam Solusi Terbaik


Oleh : Adli Mohamad

MARANG, 21 Mac- Ilmu perubatan Islam merupakan solusi terbaik dalam usaha mengatasi Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Ahli Parlimen Marang, Dato Seri' Abdul Hadi Awang berkata, sebagaimana telah dibuktikan pada masa lampau ilmu perubatan telah diterokai oleh umat Islam terlebih dahulu berbanding barat.

Dimana katanya, umat Islam telah mendahului ribuan tahun memperkenalkan ilmu bius, pembedahan serta penyelesaian kepada penyakit wabak.

"Islam mendahului ribuan tahun daripada barat didalam perkara ini, kita kena sedar, jangan kita malukan agama kita dan orang Islam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat atas talian, melalui laman sosial rasminya, semalam.

Justeru katanya, orang Islam perlu kembali sedar bahawa ilmu perubatan adalah milik umat Islam yang dipelajari oleh barat.

"Kita kena sedar bahawa kita orang Islam ini telah menjadi model dalam sejarah Islam di zaman dahulu.

"Ilmu perubatan ini orang Islam teroka dahulu, tiba-tiba kita tinggal ilmu kita sendiri," ujarnya.

Islam katanya, mengajar umatnya agar bukan semata-mata menyerah diri namun kena berikhtiar mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah yang melanda.

Oleh kerana itu, arahan dikeluarkan kerajaan agar berada di rumah dan tidak keluar merentas negeri perlu dipatuhi kerana hal sedemikian juga telah diajar oleh Islam.

Sumber: teganukita.net