COVID-19 : Kakitangan Awam Terengganu Diarah Kerja Dari Rumah


KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Semua pegawai awam Kerajaan Negeri Terengganu diarah bekerja dari rumah, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa esok hingga 31 Mac, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, menerima pakai surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar berkata, arahan tersebut dipanjangkan pemakaiannya kepada semua Pihak Berkuasa Berkanun Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.

Terdahulu, Mohd Khairul memberitahu, ketua jabatan boleh menentukan perkhidmatan penting di kementerian atau jabatan masing-masing dan mengarahkan pegawai terbabit hadir bertugas di pejabat.

Menurut Mohd Khairul, bagi pegawai yang diarah bekerja dari rumah, mereka hendaklah mematuhi arahan termasuk sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu pejabat atau bekerja yang ditetapkan kerajaan.

“Pegawai mesti sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana tempat lain dan pastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja,” katanya.

Mohd Khairul berkata, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi perkara yang dinyatakan itu, melainkan mendapat kebenaran ketua jabatan.

“Pegawai tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa yang mana bersesuaian,” katanya.

Mohd Khairul berkata, arahan itu turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Sumber: teganukita.net