COVID-19 : MAIDAM Terengganu Segerakan Bantuan


KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengambil tindakan membantu golongan asnaf terjejas akibat wabak COVID-19 dengan pembayaran bantuan bulanan kepada akaun asnaf diawalkan pada 18 hari bulan, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, kebiasaannya pembayaran dibuat pada 25 hari bulan setiap bulan.

"Kita segerakan bantuan kepada asnaf yang memerlukan termasuk kita segerakan beberapa bantuan lain, antaranya bantuan sara hidup. Jumlah keseluruhan yang kita belanjakan kelmarin adalah sebanyak RM3 juta.


"Sekarang ini kita sedang memantau dan telah menubuhkan pasukan 'On Call COVID-19 MAIDAM' untuk pastikan sekiranya ada maklumat asnaf yang terjejas dan memerlukan bantuan.

"Setelah dikenal pasti tindakan segera akan diambil. Sebagai contoh kelmarin ada asnaf di Hulu Terengganu perlu duit untuk beli barang keperluan makanan, kita terus hantar bantuan dalam bentuk tunai ke rumah yang berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambahnya, MAIDAM juga sentiasa bersiap siaga dan arahan telah dikeluarkan kepada Pegawai MAIDAM Daerah bagi memantau keperluan asnaf.

"Saya dah minta semua Pegawai MAIDAM Daerah supaya ambil perjalanan sepatutnya sekiranya terdapat maklumat berkaitan keperluan asnaf.

"Oleh kerana pergerakan kita terbatas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini, jadi kita harapkan mana-mana pihak atau individu boleh memberi maklumat kepada MAIDAM tetapi kita harapkan biarlah yang betul-betul perlu bantuan sahaja, bukan yang nak ambil kesempatan dalam tempoh ini," tegasnya.

Sumber: teganukita.net