COVID-19 : Menteri Besar Tinjau Pos Kawalan Pergerakan Di Setiu



Oleh : Muhammad A Rahman

SETIU, 27 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa meninjau pos kawalan COVID-19 di sekitar daerah ini semalam bagi mengetahui status terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, Dr Erwan Ershad Ahmad Khan.

Terdahulu Ahmad Samsuri memulakan tinjauan dengan melawat  Pos Sungai Tong kira-kira jam 9.30 malam bersama Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Tuan Afandi Husain yang hadir sama berkata, 95 peratus rakyat Setiu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Kebanyakan kes terpencil melanggar arahan PKP ini datangnya daripada penduduk luar kawasan Setiu," katanya.

Terdapat empat pos kawalan dalam Parlimen tersebut iaitu Pos Kawalan Sungai Tong, Kawalan Alor Serdang, Kawalan Mangkok serta Kawalan Batu Rakit.

Setiap pos kawalan tersebut dianggotai oleh polis pelbagai cawangan dan dibantu rejimen askar dari Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu.

Lawatan tersebut berakhir di Pos Kawalan Batu Rakit pada jam 12.05 pagi.



Sumber: teganukita.net