COVID-19: Perlis batal Solat Jumaat hari ini


Berikutan situasi semasa COVID-19 yang semakin membimbangkan, Kerajaan Negeri Perlis hari ini membatalkan Solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu PErlis (MAIPs) berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam. 

"Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Malaysia (KKM) mengenai COVID-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan ini memutuskan supaya Solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis pada 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. 

"Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM. Justeru itu, pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuklah aktiviti agama hendaklah dielakkan," katanya. 

MAIPs dalam kenyataannya itu juga menasihatkan agar pihak pengurusan masjid di seluruh negeri Perlis mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan wabak itu tidak menular dalam kalangan ahli jemaah dan anak kariahnya. 


Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan mana-mana ahli jemaah yang terdedah dengan simptom wabak atau berpotensi menjadi pembawa virus berkenaan untuk tidak ke masjid. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my