COVID-19 : Polis Kawal Pasar Borong Gong Pauh Mulai Esok

Wan Sukairi.

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengawal di pintu masuk dan di dalam Pasar Borong Gong Pauh di sini bermula esok bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ini kerana orang ramai yang hadir bagi membeli keperluan harian di pasar tersebut sangat ramai dan menyebabkan kesesakan berlaku.

Katanya, masalah itu telah dibangkitkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri pagi tadi dan tindakan tersebut telah dipersetujui bersama.

"Semoga penjual dan pembeli dapat mematuhi peraturan demi kebaikan kita semua dalam menghadapi ujian COVID-19 ini. 

"Asasnya ialah tiada kesesakan, jarakkan diri anda sejauh satu meter antara satu sama lain, memakai 'mask' dan tidak bersentuhan antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Sukairi, hanya  seorang setiap keluarga sahaja dibenarkan untuk memasuki pasar berkenaan.

"Tiada isteri atau suami dan anak-anak yang dibenarkan bersama ketika membeli," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu.



Sumber: teganukita.net