COVID-19: Terengganu Sambut Baik Inisiatif Kerajaan Pusat



KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri menyambut baik usaha kerajaan pusat dalam memperkenalkan beberapa inisiatif lagi bagi membantu rakyat menghadapi ancaman Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata beliau mewakili kerajaan negeri  mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan, kerajaan melalui Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinetnya mengumumkan beberapa insentif serta skim bantuan untuk rakyat di seluruh negeri.

Katanya, inisiatif yang diumumkan mampu membantu setiap negeri dalam meringankan beban rakyat di samping peruntukan yang sedia ada.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bernilai RM130 juta akan disalurkan kepada pentadbiran kerajaan negeri bagi membantu menangani krisis COVID-19.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu boleh digunakan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19, selain pesakit virus itu serta ahli keluarga mereka.

Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

"Peruntukan ini juga boleh digunakan bagi menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri yang terbabit dalam menangani krisis ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Muhyiddin berkata inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Nor  juga menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta mengikuti arahan kerajaan secara terus tanpa sebarang pertikaian.

"Ketika ini kerjasama rakyat terutama di Terengganu sangat diperlukan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa  sehingga 31 Mac nanti," ujarnya.

Sumber: teganukita.net