COVID-19:Golden Pharos Sumbang Makan Malam Kepada Frontliner HSNZ

Wakil GPB, Fauzan Abdul menyerahkan pek makanan makan malam kepada wakil HSNZ di perkarangan hospital petang semalam


KUALA TERENGGANU -- Golden Pharos Berhad (GPB) salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri turut mengambil peranan membantu barisan hadapan 'frontliner' yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan sekitar bandar dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Dato' Nadza Abdul berkata bantuan dalam bentuk sumbangan makan malam yang diberikan adalah tidak seberapa berbanding dengan jasa serta usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertugas.

Katanya, ia sebahagian usaha untuk meringankan beban mereka yang mengambil risiko bertugas ketika seluruh negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan sejak dilancarkan.

"Sumbangan ini adalah kecil jika dibandingkan dengan apa yang mereka telah korbankan termasuklah masa, keluarga dan tenaga.

"Ini menunjukkan bahawa GPB amat berterima kasih kepada frontliner ini kerana tanpa mengira penat dan lelah berjuang menentang wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Seramai 50 kakitangan yang bertugas di hospital dan 20 kakitangan Polis Diraja Malaysia menerima sumbangan pek makan malam yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Komunikasi Korporat GPB, Fauzan Abdul.

Nadza Abdul berkata, pihaknya juga mengarahkan seluruh kakitangan Kumpulan untuk berada di dalam rumah dan tidak perlu keluar jika tiada apa-apa urusan yang penting.

"Pihak GPB sentiasa memantau pergerakan kakitangan bagi memastikan mereka patuh kepada arahan kerajaan dan sentiasa mengingatkan supaya menjaga kesihatan dan kebersihan supaya tidak dijangkit wabak yang merbahaya ini.

"Setakat ini, kami bersyukur kerana tiada lagi kakitangan GPB yang dilaporkan positif Covid-19," katanya lagi.

Tambah beliau, GPB turut menghentikan operasi kilang dan pengurusan sepertimana yang diarahkan oleh kerajaan negeri sempena Perintah Kawalan Pergerakan.

Sumber: teganukita.net