Hukum Isteri Bantu Suami Sakit Ambil Wudhu’ Tanpa Lapik


SOALAN:
Ayah saya sudah tidak larat untuk berjalan dan tangannya juga tidak kuat untuk bergerak bagi menyapu ke atas anggota wudhu’. Soalan saya, jika mak saya tolong ambilkan wudhu’ untuk ayah saya seperti menyapu muka dan lain-lain, sah tak wudhu’ ayah saya?

JAWAPAN:
Sikap tolong-menolong dalam perkara kebaikan merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam Islam lebih-lebih lagi budaya itu disemai dalam ruang lingkup keluarga yang melibatkan suami isteri, adik-beradik, dan anak-beranak.

Berdasarkan situasi di atas, hukum asal bagi seorang isteri yang menyentuh suaminya atau lelaki ajnabiy yang sudah berwudhu’ tanpa berlapik ialah batal. Perkara ini jelas disebut di dalam kitab-kitab mazhab Syafie bahawa tidak kira sama ada sentuhan itu berlaku secara sengaja, tidak sengaja, bersyahwat ataupun tidak, hukumnya mutlak tetap batal. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/63)

Dalil yang digunakan seperti mana firman Allah SWT tatkala memperihalkan keadaan yang membatalkan wudhu’:

أَوْلَامَسْتُمُ النِّسَاء
“Atau kamu menyentuh perempuan…” (Surah al-Nisa’: 34)

Namun begitu, Islam dengan sifat anjalnya memberikan pengecualian hukum asal mengikut kepada keperluan dan hajat di samping tetap menjaga keaslian prinsipnya. Pengecualian diberikan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

إذا ضاق الأمر اتسع وإذا اتسع ضاق
“Ketika dalam kesempitan, diberikan keringanan (rukhsah). Apabila hilang kesempitan, kembali kepada hukum asal.”

Penetapan kaedah ini ditetapkan para ulama’ berdasarkan pelbagai ayat al-Quran dan hadith yang menunjukkan Syariah memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada beberapa keadaan yang mendesak. Contohnya ayat al-Quran yang menyebut:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّما بُعِثْتُم مُيَسِّرينَ ولَمْ تُبْعَثوا مُعَسِّريْنَ
“Sesungguhnya kalian diutuskan untuk menjadi pemudah cara bukan memberi kesusahan dan kesukaran.” [Riwayat al-Bukhari (220)]

Dalam situasi di atas, sebagai jalan keluar kepada permasalahan yang menimpa suaminya, kami mengatakan wudhu’ suaminya tetap sah mengikut kepada maslahah dan situasi tersebut. Pandangan ini juga merupakan sebahagian daripada pendapat lemah dalam mazhab Syafie seperti dinukilkan oleh Imam Nawawi (wafat 676H) bahawa sentuhan tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu’. (Lihat: al-Majmu', 2/24)

Selain itu, mazhab Hanafi juga ada menyebut bahawa persentuhan di antara lelaki perempuan termasuk suami isteri tidak membatalkan wudhu’ secara mutlak. Hujahnya, mereka menafsirkan zahir ayat “menyentuh” kepada maksud bersetubuh. Tafsiran sebegini juga dipilih oleh Ibn Abbas R.A. (Lihat: al-Bahru al-Raiq, 1/47)

Walau bagaimanapun, keluasan yang diberikan untuk mengikut pendapat lemah dalam mazhab Syafie mahupun mazhab Hanafi tidaklah bersifat mutlak sebaliknya terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipenuhi seperti ketiadaan orang lelaki, mahram (anak atau adik-beradik) ataupun ketiadaan sarung tangan (jika isterinya sendiri yang hendak melakukan). Ini jelas berdasarkan konsep kaedah Fiqh yang menyebut,

الضرورة تقدر بقدرها
“Keadaan darurat diharuskan mengikut kadarnya sahaja (tidak boleh berlebihan).”

Prinsip seperti ini sewajarnya dipegang oleh masyarakat Muslim demi memastikan aturan dan pelaksanaan Syariah dalam kehidupan seharian sentiasa tampak teratur dan tersusun dalam masa yang sama mengelakkan sikap bermudah-mudah dalam urusan agama.

Berdasarkan situasi di atas, kami cenderung mengatakan bahawa perkara ini boleh mendapat rukhsah atau keringanan dalam Syarak. Walau bagaimanapun, hendaklah aturannya mengikut pertimbangan maslahah-mudarat beserta garis panduan yang diletakkan supaya tidak termasuk dalam perbuatan bermain-main dan talfiq yang bermudah-mudah dalam urusan agama.

Wallahua'lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media