Hukum Kentut Di Dalam Masjid


SOALAN:
Saya tertanya-tanya apakah hukumnya seseorang itu kentut di dalam masjid? Adakah ia dilarang atau dibolehkan?

JAWAPAN:
Masjid merupakan tempat perhimpunan bagi umat Islam. Justeru, sudah pasti ia turut melibatkan hak-hak dan juga adab-adab sesama Muslim. Oleh kerana itu terdapat banyak nas dan riwayat yang menunjukkan larangan ke atas perbuatan yang boleh mendatangkan gangguan dan juga ketidakselesaan kepada para jemaah. Antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبُصَاقُ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا
“Meludah di dalam masjid merupakan suatu kesalahan dan kaffarahnya adalah dengan mengambusnya.” [Riwayat Al-Nasa’ie (723)]

Justeru, kita dapat melihat bahawa perbuatan meludah di dalam masjid merupakan suatu yang dianggap sebagai salah di sisi Rasulullah SAW. Ia dilarang kerana kesan yang terhasil darinya dari sudut menyebabkan perasaan tidak selesa kepada para jemaah serta menghasilkan kekotoran di dalam masjid.

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ بَنُو آدَمَ
“Sesungguhnya para Malaikat berasa terganggu dengan perkara-perkara yang mengganggu anak Adam.” [Riwayat Muslim (564)]

Hadith di atas ini secara konteksnya adalah merujuk kepada larangan mendekati masjid bagi mereka yang baru lepas memakan bawang putih atau bawang merah. Ia termasuk antara perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Manakala Imam Al-Nawawi dalam ulasan beliau ke atas hadith ini berkata:

لَا يَحْرُمُ إخْرَاجُ الرِّيحِ مِنْ الدُّبُرِ فِي الْمَسْجِدِ لَكِنَّ الْأَوْلَى اجْتِنَابُهُ
“Tidak diharamkan perbuatan membuang angin dari dubur (kentut) di dalam masjid akan tetapi yang lebih utama adalah menjauhinya.” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/175)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum kentut di dalam masjid dalam keadaan ramai orang berada di sekeliling atau dalam keadaan yang menyebabkan para jemaah terganggu dengan bauannya adalah makruh. Namun, sekiranya di kawasan yang tidak ada orang padanya, maka hal ini adalah tidak mengapa kerana ternafinya gangguan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media