Hukum Khatib Memegang Tongkat Ketika Khutbah


SOALAN:
Saya ingin bertanya apakah hukum seorang khatib itu memegang tongkat semasa khutbah Jumaat? Ini kerana di sebahagian tempat saya tengok ada khatib yang tidak memegang tongkat. Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Khatib dari sudut bahasa membawa maksud individu yang bercakap di hadapan sekumpulan manusia. Seperti individu yang menyampaikan ucapan di masjid dan juga selainnya. Secara umumnya, khutbah Jumaat mempunyai lima rukun sahaja seperti yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafi’eyyah. Berikut adalah lima rukun tersebut:

  • Memuji Allah SWT.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Pesanan untuk bertaqwa.
  • Mendoakan orang beriman pada khutbah yang kedua.
  • Membaca satu ayat al-Quran.

Manakala selain dari itu para ulama' juga menetapkan beberapa perkara lain yang menjadi syarat di dalam khutbah manakala yang selebihnya adalah disunatkan. Antara perkara yang disunatkan semasa khutbah adalah memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan beliau berkata:

وَفَدْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سَابِعَ سَبْعَةٍ أَوْ تَاسِعَ تِسْعَةٍ فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ زُرْنَاكَ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ فَأَمَرَ بِنَا أَوْ أَمَرَ لَنَا بِشَىْءٍ مِنَ التَّمْرِ وَالشَّأْنُ إِذْ ذَاكَ دُونٌ فَأَقَمْنَا بِهَا أَيَّامًا شَهِدْنَا فِيهَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا أَوْ قَوْسٍ فَحَمِدَ اللَّهَ ….
“Aku pernah pergi menuju Rasulullah SAW dengan membawa bersamaku tujuh hingga ke sembilan orang. Lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah, kami menziarahimu maka berdoalah kepada Allah agar mengurniakan kebaikan buat kami.” Lalu baginda mengarahkan agar diberi sedikit kurma untuk kami. Keadaan pada ketika itu agak susah maka kami pun menetap di sana selama beberapa hari sehinggalah kami mendirikan solat Jumaat bersama Rasulullah SAW. Maka baginda pun berdiri dan bersandar (memegang) tongkat atau busur, kemudian baginda memuji Allah...” [Riwayat Abu Daud (1096)]

Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata: “Pada hadith ini petunjuk yang menjelaskan bahawa bersandar pada tongkat semasa berkhutbah adalah mustahab.” [Rujuk: Syarah Abi Daud, Al-‘Aini (4/437)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sa’d al-Qarazh beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا خَطَبَ فِي الْحَرْبِ خَطَبَ عَلَى قَوْسٍ وَإِذَا خَطَبَ فِي الْجُمُعَةِ خَطَبَ عَلَى عَصًا
“Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila baginda berkhutbah di medan perang baginda akan menyampaikan khutbah dengan bersandar pada busur. Dan apabila baginda berkhutbah pada hari Jumaat baginda akan menyampaikannya dengan bersandar kepada tongkat.” [Riwayat Ibn Majah (1107)]

Justeru, terbina daripada beberapa nas di atas ini Imam Al-Nawawi menyebutkan: “Disunatkan untuk khatib bersandar pada busur atau pedang atau tongkat, atau yang seumpama dengannya.”

Kemudian beliau menyebutkan pendapat Al-Qadhi Husain dan Imam al-Baghawi yang menyatakan bahawa disunatkan untuk seorang khatib itu memegangnya (busur, tongkat, pedang) di tangan kirinya. Namun jumhur fuqaha' tidak menyebutkan tangan manakah yang digunakan untuk memegangnya (tongkat atau pedang).

Begitu juga Imam Al-Nawawi mengongsikan pendapat ashab al-Syafi’eyyah yang menyatakan bahawa sekiranya khatib tidak menemukan pedang, tongkat, dan seumpamanya maka hendaklah khatib itu menenangkan tangannya. Iaitu dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, atau dia melepaskan sahaja kedua tangannya dan tidak menggerak-gerakkan tangannya. Tujuannya adalah untuk mencapaikan kekhusyukan dan menghalang dari melakukan perbuatan yang sia-sia. [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/528)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat. Iaitu disunatkan memegang tongkat dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar. Perbuatan tersebut bertujuan untuk menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada para jemaah. Meskipun begitu, tidak ada masalah sekiranya khatib berkhutbah tanpa memegang tongkat. Namun dia disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media