Kampung Gong Pok Amat Bakal Bercahaya Tanpa Pelita



Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 6 Mac – Sebahagian penduduk Kampung Gong Pok Amat, Jabi bakal menikmati bekalan letrik tidak lama lagi setelah sekian lama bergantung kepada cahaya pelita.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya sedang berusaha keras untuk memberikan ‘cahaya’ baharu buat penduduk dan ‘memanggil’ mereka yang merantau untuk kembali ke kediaman masing-masing.

‘’ Terdapat sebelas buah rumah di sini yang sebahagiannya terpaksa ditinggalkan pemiliknya lantaran ketiadaan kemudahan asas.

‘’ Namun, tuan rumah telah memberi komitmen sekiranya ada elektrik, maka mereka akan pulang menetap di sini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas membuat tinjauan di beberapa lokasi yang bermasalah di Kampung berkenaan, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, walaupun projek ini bakal menelan kos yang tinggi namun usaha ini haruslah diteruskan demi kepentingan rakyat.

‘’ Satu usaha bersepadu Pejabat Adun Jabi bersama Pejabat Daerah Besut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah dimulakan sejak tahun lepas bagi membekalkan bekalan lektrik ke kampung ini dengan kos sekitar RM 1.15 juta.

‘’ Kita sangat yakin, bila dilengkapi dengan keperluan asas ini, kampung ini akan dapat dimajukan seiring dengan pembangunan negara. Doakan semoga dipermudahkan usaha ini,"ujar Dr Azman.

Sumber: teganukita.net