Menamakan Allah Dengan Nama Yang Tidak Terdapat Dalam Al-Quran Dan Hadith


SOALAN:
Bolehkah memberikan nama kepada Allah SWT yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-hadith jika dirasakan sesuai dengan sifat keagungan-Nya?

JAWAPAN:
Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya.” [Surah al-A’raf (180)]

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” [Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677)]

Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat 180 surah al-A’raf di atas menyebut: “Perlu diketahui bahawa Asma' al-Husna itu tidak terbatas pada bilangan 99. Ini seperti mana yang disebut dalam hadith riwayat Imam Ahmad. Begitu yang seperti mana diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim bin Hibban al-Busti dalam Sahihnya. Imam Abu Bakar Ibn al-'Arabi, salah seorang Imam Mazhab Maliki dalam kitabnya ‘Aridhah al-Ahwazi bi Syarh Sahih al-Tirmidzi menyebut bahawa ada di antara mereka yang mengumpulkan asma 'Allah (nama-nama Allah) dari al-Quran dan al-Sunnah sebanyak seribu nama. Wallahua'lam.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azim, 4/65)

Dalam menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Ibn Hazm menjelaskan: “Tidak boleh memberikan nama bagi Allah kecuali dengan nama yang Allah SWT telah sebutkan dan khabarkan di dalam al-Quran serta melalui lisan Rasul-Nya atau berdasarkan ijma’ ulama’, tanpa menambahnya meskipun makna dari nama-nama tersebut benar dan sesuai dengan sifat Allah SWT.” (Lihat: al-Fisal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, 2/108)

Nama-nama Allah SWT hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Ia adalah bersifat tauqifiyyah. Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak boleh ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188)

Nama-nama tersebut juga tidak boleh ditetapkan dengan cara qiyas. Abu Mansur al-Baghdadi dalam kitabnya tafsir al-Asma’ wa al-Sifat menyebut: “Tidak ada ruang bagi qiyas pada nama-nama Allah. Ini kerana nama-nama Allah itu diambil daripada syarak dan al-tauqif.”

Justeru, hendaklah kita ketahui bahawa nama-nama Allah tersebut bukanlah perkara yang boleh difikir-fikirkan. Sebaliknya, ia mesti terbina di atas dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Syeikh Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani pula di dalam Syarh Asma’ Allah al-Husna menjelaskan: “Nama-nama Allah SWT merupakan urusan tauqifiyyah. Tiada ruang untuk akal padanya. Disebabkan itu, wajib untuk tawaqquf pada apa yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana akal tidak mungkin mampu menentukan apakah nama-nama yang layak untuk Allah. Maka wajib mengikut dalil dalam hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [Surah al-Isra’ (36)]

Firman Allah SWT lagi:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّـهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [Surah al-A’raf (33)]

Kata Syeikh Dr. Said al-Qahtani lagi: “Menamakan Allah dengan apa yang Dia tidak namakan pada diri-Nya dan mengingkari nama yang Dia berikan pada diri-Nya merupakan satu jenayah pada hak-Nya. Justeru, wajib beradab dalam hal ini dan memadai dengan apa yang disebut dalam dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat: Syarh Asma’ Allah al-Husna, hlm. 10)

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Hal ini kerana nama-nama tersebut adalah bersifat tauqifiyyah, iaitu hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya.

Oleh itu, sewajarnya kita berpada dengan mengambil dari apa yang telah disebutkan di dalam al-Quran dan al-hadith sahaja dengan tidak menambah dan mengurangkannya kerana akal fikiran tidak mampu untuk mencapai apa yang berhak bagi Allah SWT dari nama-nama-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media