Muara Cetek Jejas Pendapatan Nelayan Kecil


Oleh: Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Keadaan di muara sungai Kuala Ibai telah menjadi kian cetek akibat mendapan pasir pantai yang dibawa oleh ombak laut, menyukarkan para nelayan untuk turun ke laut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika meninjau lokasi berkenaan bersama pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan kontraktor bagi menyelesaikan masalah berkenaan menyatakan,

“Apabila air surut, pasir akan timbul dan pasir ini 90% datangnya dari arah laut kerana perjalanan arus sehingga menyebabkan muara ini menjadi cetek dan ini menjadi masalah kepada nelayan-nelayan bot kecil,” kata beliau ketika meninjau lokasi berkenaan.

Sementara itu, pengurus De Jaya Sdn. Bhd., Hanafi Ismail menjelaskan bahawa mereka akan mengambil inisiatif untuk menggali pasir ini bagi membuka laluan kepada bot-bot nelayan kecil tersebut untuk turun ke laut.


“Pihak kami sedang menunggu kelulusan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kita menjalankan kerja-kerja sementara untuk laluan bot nelayan ini,”katanya ketika ditemuramah oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurut ADUN Batu Buruk lagi, ketika ini merupakan penghujung musim tengkujuh dan para nelayan sudah mula untuk turun ke laut bagi mencari rezeki.

“InsyaAllah pihak Pusat Khidmat Dun Batu Buruk akan sentiasa memantau dan akan ‘follow up’ dengan pihak yang berkenaan bagi mempercepatkan urusan ini demi kemudahan rakyat,” ujarnya lagi.

Sumber: teganukita.net