PMINT Diharap Main Peranan Secara Menyeluruh


Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diharap dapat memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam memajukan sosial ekonomi rakyat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, ia merupakan  satu tanggungjawab bagi memenuhi keperluan masyarakat di negeri ini.

"Lawatan ini adalah kali pertama ke PMINT yang merupakan agensi utama kerajaan negeri dari segi pembangunan sosial ekonomi Terengganu.

"PMINT merupakan sebuah agensi yang besar dan terlibat dalam banyak sektor, antaranya Sektor Perumahan, Pembuatan, Pelancongan, Pertanian, Perlombongan, Pembangunan Hartanah, Pengangkutan serta Pengurusan Kompleks dan Strata," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan ke premis berkenaan, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Kemasik, Ir Saiful  Azmi Suhaili, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Hajah Zarani Othman.

Menurutnya, antara syarikat yang terlibat di bawah PMINT ialah Pertima, TTI Management Sdn Bhd, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd, P-Excell Management Sdn Bhd, CAS Ligas Sdn Bhd, PMINT URUS Sdn. bhd dan Paya Bunga Hotel.


"Pada keseluruhannya lawatan hari ini dapat memberi  maklumat yang jelas berhubung dengan PMINT termasuk perumahan, perkedaian dan yang terbaru berkait dengan pembangunan industri," tambah beliau.


Sumber: teganukita.net