PN Untuk Rakyat Dan Tiada Unsur Perkauman - Khairuddin

Foto Ehsan: The Malay Mail


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 6 Mac – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melihat ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan persepsi negatif kepada Perikatan Nasional (PN) dengan memainkan unsur perkauman dan ketidakadilan kepada semua kaum.

Beliau berkata, semua pihak perlu melihat ucapan pertama Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkannya sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat dan ini merupakan satu bentuk keadilan.

“Kita (rakyat Malaysia) perlu melihat ucapan Perdana Menteri yang merupakan ucapan dasar iaitu menunjukkan beliau sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan inilah bentuk keadilan.

“Sebab itulah tema dalam PAS ialah keadilan untuk semua dan berkebajikan untuk semua tanpa mengira kaum dan perkara ini diterangkan dalam agama Islam,” ujar beliau sewaktu ditemuramah dalam Bernama TV baru-baru ini.

Menurut Dr Khairuddin yang juga Pengarah Strategi Parti Islam SeMalaysia (PAS) Pusat, antara punca keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan ialah kegagalan mereka dalam menggambarkan keadilan untuk semua yang sebenar.

Ujar beliau, adil bukan bermakna sama rata, tetapi keadilan dalam Islam ialah memberikan hak kepada orang yang berhak.

“Antara sebab keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan ialah kegagalan mereka dalam menggambarkan bahawa keadilan untuk semua (keadilan yang sebenar).

“Adil bukan bermakna sama rata, tetapi keadilan ialah memberikan hak kepada orang yang berhak menurut Islam,” tambah Dr Khairuddin.

Sumber: teganukita.net