Syukur Jadi Sebahagian Daripada Detik Bersejarah - Zuraida

Zuraida Mohd Noor


Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 5 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor menzahirkan kesyukuran kerana ditakdirkan untuk menjadi sebahagian daripada parti yang terlibat dalam detik bersejarah politik negara.

Zuraida berkata secara peribadinya, beliau amat bersyukur kerana berpeluang menyaksikan serta terlibat dalam peristiwa 1 Mac 2020 yang menyaksikan Parti Islam se-Malaysia (PAS) telah tergolong sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Sebenarnya jika kita singkap kembali sejarah, PAS bukan pertama kali menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan tetapi kali kedua. Kali pertama ialah pada tahun 1972 iaitu kira-kira 48 tahun yang lalu, dalam kerajaan campuran bersama-sama Parti Perikatan.

“Selaku suara tertinggi Muslimat Muda PAS ataupun lebih dikenali dengan nama Ameerah, saya menyaksikan satu gabung jalin yang baik antara PAS dan parti-parti lain dalam persefahaman politik, Perikatan Nasional ini”, ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Beliau yang juga  Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berhasrat agar Perikatan Nasional ini dapat membela dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

“Saya berharap dan berdoa agar dipermudahkan perjalanan PAS dalam kerajaan pusat, semoga kehadiran PAS mampu memberi impak yang besar. Mudah-mudahan kita mampu terus istiqomah membawa agenda Islam, sekaligus menjadi rujukan kepada parti-parti lain insya-Allah.

“Sebagai seorang anak muda, pastinya saya mengharapkan agar kerajaan yang baru dibentuk ini, dapat membela, menjaga dan menunaikan hasrat anak-anak muda terutamanya dalam sektor pekerjaan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan tidak ketinggalan dari sektor pendidikan mahupun ekonomi.

“Saya doakan PAS terus maju dan semoga semua pendokong terus teguh berdiri di sisi parti walau dalam apa jua keadaan dan tahniah sekali lagi saya ucapkan atas pencapaian yang membanggakan ini," tambahnya

Sumber: teganukita.net