Terengganu Catat Dua Rekod Baru SPM 2019

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan semua A dari SM Sultan Mahmud meraikan kejayaan mereka. 
KUALA NERUS, 5 Mac - Negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab. Ghani memaklumkan, Terengganu mencapai gred purata 4.69, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.21, sekali gus merupakan rekod baharu negeri.

"Bagi kita, ini rekod yang besar yang kita belum pernah capai lagi sebelum ini.

"Terengganu turut merekodkan pencapaian keseluruhan lulus mata pelajaran dengan peningkatan sebanyak 61.21 peratus dengan bilangan 10,510 daripada 19,550 calon yang mengambil peperiksaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman SPM di Sekolah Sains Sultan Mahmud, di sini.

Jelasnya, Terengganu turut merekodkan peningkatan dengan seramai 293 daripada 19,550 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Negeri Terengganu bagi tahun 2019 berjaya memperoleh pencapaian semua A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian ini merekodkan lonjakan sebanyak 0.13 peratus bagi pencapaian semua A dengan peningkatan 293 (1.71%) pelajar pada tahun 2019, berbanding 276 (1.58%) pelajar pada 2018.

Sumber: teganukita.net