Terengganu FC Bangkit Raih Satu Mata

Sanjar jaring gol kedua pasukan.


KUALA NERUS, 11 Mac- Terengganu Football Club (Terengganu FC) bangkit memungut satu mata apabila seri 3-3 menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, sebentar tadi

Bermain di gelanggang sendiri, Terengganu FC lebih banyak menguasai bola dan melakukan serangan seawal permainan.

Penyerang meningkat naik, Dominique Da Sylva memperolehi beberapa peluang di hadapan gol tetapi Khairul Azhan cekap mengawal gawang pelawat daripada dibolosi.

Memasuki minit ke-15, Selangor mula mendapat rentak dan melakukan percubaan-percubaan merbahaya ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-39, Selangor berjaya mendahului tuan rumah melalui penyerang, Ifedayo Olusegun.
Antara aksi malam tadi.

Bermula dengan sepakan sudut yang diambil Sandro Da Silva, Safwan Baharuddin menanduk bola kepada Ifedayo yang menyudahkan peluang dengan tandukan mudah melepasi Ilham Nasrullah.

Sang Penyu tidak menunggu lama, serangan dijana dan pada minit ke-42, Rahmat Makasuf pantas menyambar lorongan Faris Ramli dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan rendah.

Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Gergasi Merah sekali lagi mendahului tuan rumah, kali ini melalui 'tap' mudah Khyril Muhymeen dalam situasi kelam-kabut di depan gol pada minit ke-52.
Selangor dan Terengganu FC pamer permainan menakjubkan.

Sebelas minit kemudian, Dominique yang menerima hantaran Lee Tuck pantas melorongkan bola kepada Sanjar Shaakhmedov dan mudah disempurnakan penyerang Uzbekistan itu untuk Terengganu FC menyamakan kedudukan 2-2.

Selangor sekali lagi menunjukkan taringnya pada minit ke-69 apabila Brendan Gan menyambar bola tandukan Ifedayo yang gagal ditangkap kemas Ilham untuk gol ketiga pasukannya.

Ketika kedudukan dilihat memihak kepada pelawat, pertahan Selangor, Rodney menjatuhkan Faris Ramli di dalam kotak penalti dan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan.

Antara gelagat penyokong Terengganu FC.

Terengganu FC berjaya bangkit mengutip satu mata setelah Lee Tuck menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-94.

Setelah tiga aksi Liga Super, Terengganu kini berada di kedudukan keenam liga dengan mengumpul empat mata.

Sumber: teganukita.net