COVID-19 : 274 Pelajar Tahfiz Bebas Wabak Dihantar Pulang

Para pelajar menaiki bas yang disediakan kerajaan negeri untuk pulang ke rumah.


KUALA TERENGGANU, 5 April - Seramai 274 pelajar Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, di sini yang disahkan bebas COVID-19 dihantar pulang ke rumah masing-masing selepas dikuarantin selama dua minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri menyediakan enam buah bas dan tiga van bagi menghantar semua pelajar yang berada di luar Terengganu untuk pulang ke kediaman masing-masing.

"Manakala bagi pelajar yang dari daerah Kuala Terengganu, kita jemput ibu bapa mereka untuk datang ke madrasah bagi mengambil anak mereka," katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ariffin memaklumkan, terdapat beberapa lagi pelajar yang sedang menunggu surat pengesahan daripada pihak kesihatan sebelum mereka dibenar pulang.

Ujarnya, kesemua pelajar terbabit sedang berada tempoh bercuti selama dua bulan sehingga Aidilfitri.

"Sebab itu mereka semua dihantar pulang ke rumah masing-masing selepas tamat tempoh kuarantin, namun tempoh bercuti itu bergantung kepada keadaan semasa.

"Kesemua mereka ini adalah yang bebas saringan dan telah melalui proses kuarantin," tambah beliau.




Sumber: teganukita.net