COVID-19: Bawa Pulang Pelajar Di Mesir Bukan Langkah Terbaik-ALBAB


KUALA TERENGGANU, 14 April- Pertubuhan Alumni Lepasan Blok Asia Barat (ALBAB) menegaskan, beberapa pertimbangan perlu diteliti pelbagai pihak terutama ibu bapa sebelum mengambil keputusan membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir.
Pengerusi ALBAB, Dr. Samsul Azhar Yahya mezahirkan kebimbangan tetang kebarangkalian wujudnya kluster baharu wabak Covid-19 akibat keputusan itu.
"Kemungkinan untuk wabak ini merebak agak tinggi apabila berada di dalam perjalanan pulang melebihi 8 jam kerana tiada jaminan bahawa semua yang berada di dalam penerbangan tersebut bebas dari jangkitan.
"Kita tidak mahu kluster pelajar Mesir menjadi salah satu kluster baru pandemik ini di Malaysia," katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Jelasnya, usaha membawa pulang para pelajar berkenaan juga bakal menimbulkan lebih banyak masalah kerana mereka turut berisiko tercicir dan terlewat kuliah apabila pusat pengajian kembali dibuka nanti.
"Mesir pada ketika ini telah menutup pintu kemasukan orang luar serta syarikat pelancongan dan ia bakal menyukarkan  pelajar untuk kembali semula ke Mesir selepas tempoh penangguhan.
"Tambahan pula, mengikut statistik yang disahkan Covid-19 setakat ini, statistik di Mesir masih rendah  berbanding negara lain yang mempunyai lebih ramai pelajar termasuk Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom dan beberapa buah negara Eropah lain," katanya.
Tambah Syamsul Azhar, Wisma Putra turut menasihatkan para pelajar di luar negara untuk terus kekal di lokasi mereka menetap sehingga situasi pulih.
Berdasarkan hal itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang ingin membawa pulang pelajar dari Mesir supaya berunding  dengan pihak kedutaan dan Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) kerana langkah itu nyata tidak menguntungkan.
"Saya  telah berhubung  dengan beberapa pihak  termasuk EME dan diberi jaminan pelajar berada dalam keadaan terkawal di rumah sewa dan di rumah negeri  di bawah pemantauan kerajaan negeri dan penaja serta tidak terputus bekalan makanan.
"Jangan  memberi gambaran  yang menakutkan kepada ibu bapa di Malaysia. Pihak ketiga seharusnya bekerjasama dengan pihak kedutaan untuk lebih menyediakan kemudahan atau khidmat nasihat untuk pelajar terus berada di Mesir," katanya.



Sumber: teganukita.net