COVID-19: Giliran Warga Flat Bijangga Terima Bantuan


Oleh : Rizauddin Mohammad Sabri

DUNGUN, 7 April - Prihatin dengan mereka yang kehilangan punca pendapatan disebabkan wabak COVID-19, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli terus mengambil inisiatif menyumbangkan barangan keperluan dapur kepada masyarakat setempat.

Menerusi kerjasama Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bijangga, hari ini tiba giliran warga flat kampung itu menerima bantuan apabila sebanyak 257 pek keperluan asas khususnya barangan makanan yang berharga RM100 setiap satu disediakan kepada komuniti terbabit.

Jelas Wan Hassan, selain keluarga miskin pemberian tersebut juga turut disumbangkan kepada isi rumah yang terjejas teruk akibat wabak pandemik ini terutamanya sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan pada pertengahan Mac lalu.

Tambahnya, pihak Ahli Parlimen Dungun tidak pernah sesekali pilih kasih dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

"Malah, saya sentiasa mengingatkan kesemua MPKK untuk sentiasa santuni dan perhalusi warga kampung agar mengutamakan mereka yang betul-betul memerlukan terlebih dahulu," ujarnya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan kepada warga flat berkenaan, hari ini.

Turut hadir ketika majlis penyampaian sumbangan itu, Pengerusi MPKK Kampung Bijangga Che Alias Muda.

Sementara itu, Che Alias mengharapkan, penduduk dapat manfaatkan sebaiknya  sumbangan yang diberikan disamping dapat mengeratkan lagi hubungan antara MPKK dan komuniti setempat.

"Kami telah membuat jadual khusus untuk agihan sumbangan ini, dimana kami telah mengehadkan kepada separuh penerima terlebih dahulu untuk mengambilnya hari ini dan selebihnya akan disempurnakan esok," katanya.

Menurut Alias, langkah itu dilaksanakan bagi menyambut baik arahan pihak kerajaan untuk mengamalkan 'social distancing' sementara dapat mengurangkan kadar kesibukkan sepanjang majlis penyampaian sumbangan kepada warga Flat Bijangga.

Sumber: teganukita.net