COVID-19 : Ibadah Haji, Belum Ada Keputusan Rasmi

Zulkilfli Mohamad Al-Bakri. Foto ihsan - The Star.
PUTRAJAYA, 8 April - Semua pihak disaran menunggu kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi berkenaan isu urusan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setakat ini tiada sebarang arahan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berhubung isu tersebut.

"Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia, TYT Mahmoud Hussien Saeed Qattan memaklumkan belum ada sebarang arahan daripada pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang info tidak sahih berkait perkara itu.

"Sama-sama kita berdoa agar Allah S.W.T menghilangkan wabak ini (COVID-19) dan kita mampu beribadat seperti biasa," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net