COVID-19: Peruntukan Tambahan PRIHATIN Mampu Suntik Manfaat-MB Terengganu

Dr. Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 9 April-Kerajaan Terengganu berharap peruntukan tambahan berjumlah RM10 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS (Tambahan) dapat memberikan manfaat kepada pengusaha Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) di negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut merakamkan rasa terima kasih kerajaan negeri atas pengumuman pakej berkenaan oleh kerajaan Persekutuan.

 “Apa yang penting sekarang ialah untuk menggerakkan aktiviti ekonomi kerana tanpa rangsangan akan berlaku kelembapan ekonomi yang semakin berat.

“Dalam suasana yang semua pihak tertekan, maka ekonomi perlu digerakkan terutamanya kepada industri sederhana dan besar. Kalau tidak, kesan Covid-19 akan terus berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, suntikan rangsangan dalam pakej tambahan itu akan mampu menggerakkan beberapa aktiviti ekonomi dalam masyarakat.

"Saya percaya, ia akan memberi kesan kepada rantaian yang lain dan masyarakat terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Samsuri turut menyatakan bahawa Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Covid-19 dirangka dengan strategi yang sama dengan kerajaan Persekutuan.

"Pelaksanaannya kita fokus kepada yang memerlukan dahulu dan secara berperingkat kerana kesannya berantai, kalau kita berikan secara sekaligus pastinya akan ada yang terkesan dan sebagainya.

"Saya sudah maklumkan kepada ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (MMKN) bahawa kita akan mengusahakan pakej yang seterusnya selepas pengumuman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkaitan hala tuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti," katanya.

Sumber: teganukita.net